Wanita perlu memahami pindaan Akta Kerja 1955 - Utusan Malaysia

Wanita perlu memahami pindaan Akta Kerja 1955

PENTING bagi wanita untuk memahami hak-hak mereka sebagai pekerja dan mengambil tindakan jika hak mereka dilanggar mengikut Akta Kerja 1955.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

AKTA Kerja 1955 dan pindaannya pada 2022 memberikan perlindungan kepada pekerja termasuk wanita di Malaysia. Antara hak yang diperuntukkan dalam akta tersebut termasuk mendapat gaji sama dengan pekerja lelaki yang melakukan kerja serupa, mendapat cuti tahunan, cuti sakit dan cuti bersalin.

Selain itu, wanita juga dilindungi daripada diskriminasi di tempat kerja berdasarkan jantina, status perkahwinan atau kehamilan. Majikan juga dikehendaki memastikan tempat kerja selamat dan selesa bagi pekerja wanita.

Bagi wanita yang menghadapi masalah gangguan seksual di tempat kerja, mereka mempunyai hak melaporkan perkara tersebut kepada majikan atau pihak berkuasa.

Majikan juga dikehendaki mengambil langkah-langkah untuk mencegah gangguan seksual di tempat kerja dan memastikan bahawa pekerja wanita tidak terdedah kepada situasi yang membahayakan keselamatan mereka.

Oleh itu, adalah penting bagi wanita untuk memahami hak-hak mereka sebagai pekerja dan mengambil tindakan jika hak mereka dilanggar.

Pendidikan dan kesedaran mengenai hak wanita di tempat kerja perlu ditingkatkan agar mereka dapat melindungi diri dan memastikan tidak menjadi mangsa diskriminasi atau gangguan seksual.

Selain itu, kesedaran dan sokongan daripada keluarga mahupun masyarakat juga penting bagi wanita yang bekerja untuk mengekalkan keseimbangan antara kerja dan kehidupan keluarga.

Dengan memahami hak dan perlindungan yang ada, wanita akan lebih yakin dan berdaya saing dalam mencari dan mengekalkan pekerjaan yang sesuai dengan kemampuan. Wanita juga dapat menggunakan pengetahuan ini untuk menghadapi cabaran di tempat kerja.

Selain itu, memahami undang-undang pekerjaan juga dapat membantu wanita memahami tanggungjawab mereka sebagai pekerja dan memberikan jaminan tindakan dapat diambil terhadap perlakuan tidak adil atau penyalahgunaan kuasa oleh majikan atau penyelia.

Ini akan memastikan bahawa wanita dapat menjalankan tugas mereka dengan sepenuhnya sambil memenuhi tanggungjawab sebagai ibu dan anggota keluarga. – UTUSAN

DR. NURUL NADIRAH ABU HASAN & DR. AFIQAH MIOR KAMARULBAID, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN