SAUDARA PENGARANG,
MERAIKAN Hari Raya Aidilfitri dengan pelbagai cara adalah manifestasi rasa gembira dan syukur selepas berjaya mengharungi tarbiah sepanjang bulan Ramadan.
Sambutan hari raya pada tahun ini memasuki tahun kedua umat Islam dapat meraikannya seperti tradisi kebiasaan selepas menyambut 1 Syawal dengan hanya terkurung di rumah pada 2020 dan 2021 kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat pandemik Covid-19.
Tidak kira yang sudah berkeluarga ataupun masih bujang, masing-masing perlu berbelanja untuk menyiapkan segala keperluan termasuk pakaian, juadah dan kelengkapan kediaman sempena menyambut Hari Raya Aidilfitri.
Di sebalik kemeriahan umat Islam berbelanja sakan untuk hari raya, selepas 1 Syawal perlu difikirkan juga bahawa masih banyak perkara yang memerlukan kepada komitmen kewangan.
Pakar ekonomi sudah menyatakan, masalah peningkatan kos sara hidup dirasai hari ini adalah perkara besar yang tidak dapat dielakkan kerana ia berlaku mengikut peredaran zaman. Akibatnya, kuasa beli rakyat terus berkurang dan ia memberi kesan besar kepada rantaian ekonomi.
Islam sudah memberi panduan dan nasihat jelas berkaitan mengurus perbelanjaan seharian, iaitu elakkan tidak terlalu boros dan tidak terlalu kedekut.
Firman Allah SWT bermaksud: “Maka bertakwalah kamu kepada Allah menurut kesanggupanmu dan dengarlah serta taatilah; dan infakkanlah harta yang baik untuk dirimu. Dan barang siapa dijaga dirinya daripada kekikiran maka mereka itulah orang yang beruntung.” (Surah atTaghabun, ayat 16)
Saya sarankan berbelanja dengan berhemah dan tidak menurut nafsu sepanjang Syawal, sentiasa bijak mengenal pasti antara keperluan dan kehendak hati.
Kita mempunyai pilihan untuk menjadi pengguna bijak dengan mengutamakan keperluan yang penting dahulu, ketepikan soal bermewah dan bermegah kerana aliran tunai pada hari ini sangat mudah mengalir keluar berbanding mengalir masuk.
Ukurlah kepada kemampuan diri agar tidak membebankan diri sendiri dan orang lain di kemudian hari.
Rendahkan nafsu berbelanja berlebihan dengan sentiasa memandang kepada orang yang lebih susah dan sentiasa bersederhana walau di mana kita berada.
Jika ingin berbelanja, semak dahulu barang yang ada, kemudian senaraikan apa yang benar-benar penting dan berbelanjalah di kedai menawarkan harga berpatutan.
Islam tidak menghalang kita membelanjakan wang atau harta dimiliki. Sebaik-baik corak perbelanjaan ialah bersederhana, iaitu tidak terlalu bermewah dan tidak terlalu kedekut atau bakhil.
Di samping bersederhana ketika berbelanja, pengguna perlu memastikan barangan atau perkhidmatan yang dibeli adalah barang keperluan bersesuaian dengan syariat Islam.
Mutu barangan perlu diambil kira dalam proses pembelian. Perkara itu bagi memastikan setiap sen yang kita belanjakan mendapat pulangan setimpal dengan apa yang dibayar.
Selain itu, sesungguhnya Hari Raya Aidilfitri menjadi medan terbaik bagi memupuk serta meningkatkan suasana muhibah sesama insan dan menguatkan perpaduan dalam kalangan masyarakat majmuk di negara ini. – UTUSAN
MOHD. ZAINI OTHMAN, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)










