SAUDARA PENGARANG,
DI Malaysia, selain tarawih dan tadarus al-Quran, bazar Ramadan adalah satu budaya yang amat sinonim dengan bulan Ramadan yang mulia ini. Boleh dikatakan, setiap kawasan dan daerah memperuntukkan tempat khusus bagi membolehkan peniaga menjalankan aktiviti perniagaan dengan lebih tersusun dan berpusat.
Senario seperti ini jika dilihat dari perspektif ekonomi menggambarkan satu perkara positif dengan menggalakkan aktiviti yang boleh meningkatkan pendapatan peniaga serta meningkatkan aliran tunai kepada produk-produk tempatan secara umumnya.
Walau bagaimanapun, jika perbelanjaan individu ketika berbelanja tidak dapat dikawal dan banyak melakukan pembelian mengikut selera ‘orang yang lapar’ sudah pasti akan membawa kepada pembaziran.
Saban tahun, kes pembaziran masih lagi berlaku dan berulang setiap kali tibanya Ramadan. Sehubungan dengan itu, Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) telah mengambil langkah proaktif dengan melancarkan kempen Hargai makanan elak pembaziran dalam usaha mendidik masyarakat untuk lebih menghargai makanan. Sewajarnya, umat Islam lebih menghayati dan menjiwai kempen-kempen sebegini yang juga merupakan salah satu dari nilai-nilai yang dianjurkan Islam sebagaimana terkandung dalam al-Quran.
Tidak dinafikan budaya berlebih-lebihan juga menjadi punca utama pembaziran sebegini berlaku. Kita sentiasa diperdengarkan dengan prinsip ‘biar berlebih dan jangan tidak cukup’ terutama dalam penganjuran majlis berbuka puasa di restoran, masjid dan surau serta majlis tertutup di premis persendirian. Tiada salahnya menghargai tetamu dalam menjamu mereka berbuka, tetapi perlu ada pertimbangan antara hukum sunat menjamu tetamu dan haramnya pembaziran yang memang disengajakan.
Masyarakat muslim di Malaysia perlu membudayakan konsep makan seadanya dan bukannya makan segala apa yang ada bagi mengimbangi tuntutan agama dan bermasyarakat. Tidak wajar kita mengkritik pihak yang menganjurkan majlis berbuka puasa kerana tidak menyediakan makanan yang mewah dan lebih kerana implikasi ketidakcukupan makanan itu lebih ringan berbanding pembaziran makanan yang berlanjutan.
Justeru, sama-samalah kita memperbaiki niat kita untuk memperoleh tarbiah Ramadan dengan mengurangkan amalan pembaziran yang mampu mendatangkan kebaikan kepada penduduk Malaysia secara umum serta generasi yang akan datang.-UTUSAN
DR. MOHD. SHAHID MOHD. NOH
Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya