SAUDARA PENGARANG,
KEFAHAMAN rakyat harus dibina supaya mereka dapat memainkan peranan dalam usaha membangunkan sebuah masyarakat madani tetapi pada masa sama tidak menyisihkan nilai seni dan budaya bahkan wajar terus dipertahankan kerana ia merupakan warisan turun temurun yang menunjukkan identiti jati diri orang Melayu.
Bercakap mengenai kepentingan orang Melayu, maka tidak boleh dinafikan bahawa negara sebenarnya menghadapi krisis identiti dan nilai manusiawi dalam diri.
Malaysia Madani tidak terbina atas satu vakum sebaliknya kita perlu menyediakan asas yang kukuh bagi memastikan bahawa nilai atau identiti orang Melayu menerusi seni dan kebudayaaan terus dipelihara kerana akar budaya kita yang kukuh berteraskan agama, budaya dan bangsa.
Saya juga terkilan kerana sejak dua tahun kebelakangan ini tradisi seni dan kebudayaan dilihat semakin lesu. Namun diharap keadaan ini tidak akan berterusan. Sebagai contoh, seni silat Melayu yang bercambah dan seni budaya yang lain-lainnya diharap menjadi katalis peradaban dan jati diri agar tidak hilang ditelan arus zaman.
Justeru, asas terpenting pendekatan Malaysia Madani ialah apabila setiap individu menyuburkan ilmu pengetahuan serta kemahiran, termasuklah menerapkan nilai sosiobudaya melalui aktiviti-aktiviti keseniaan dan kebudayaan yang mengekalkan adat ketimuran.
Walau apa pun usaha yang sedang di bawa kerajaan perpaduan hari ini telah menampakkan hala tuju yang memupuk kepentingan pembangunan negara yang berorientasikan nilai-nilai peradaban dalam semua aspek atau bidang. Cuma ia memerlukan masa dan mengikut kesesuaian keadaan sehingga ia boleh digarap sepenuhnya dengan kehendak rakyat.-UTUSAN
AMIR MD GHAZALI
Ahli Dewan Negara