Silap anggap Melayu tidak perlu dibantu - Utusan Malaysia

Silap anggap Melayu tidak perlu dibantu

MAJORITI orang Cina terlibat dalam perniagaan yang boleh memberi pendapatan berganda berbanding kerja makan gaji. – GAMBAR HIASAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

KITA semua tahu perjuangan salah satu parti politik yang berada di dalam kerajaan sekarang ialah kesamarataan. Ini jelas dicatat di dalam perlembagaan parti tersebut.

Sebab itu kita mula mendengar laungan kerajaan yang berbunyi, jika berbincang tentang kemiskinan dan mempertingkatkan ekonomi rakyat, tidak perlu berkata tentang orang Melayu sahaja kerana orang Cina dan India juga ada yang miskin.

Ya betul, kita setuju kaum lain juga ada yang miskin dan perlu dibela. Tetapi, tumpuan khusus perlu diberi kepada orang Melayu kerana jumlahnya amat besar.

Tidak kira walaupun ramai yang mengatakan, setelah lebih 60 tahun orang Melayu dibantu oleh kerajaan dengan pelbagai polisi, tetapi mereka masih ditakuk sama. Pandangan ini amat silap.

Semenjak pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru (DEB), orang Melayu dan bumiputera telah mencapai kejayaan yang baik.

Orang Melayu yang asalnya petani dan nelayan telah menyertai dan bekerja di sektor perindustrian dan pembuatan. Ini menyumbang kepada peningkatan jumlah orang Melayu berpendapatan sederhana (M40).

Sungguhpun dari sudut pandangan kasar, dikatakan orang Melayu dan bumiputera masih kelihatan ditakuk lama, ini tidak bermakna sudah sampai masa untuk kita biarkan mereka, tidak perlu lagi dibantu dan diberi perhatian.

Isu sebenarnya ialah jurang pendapatan isi rumah yang semakin melebar antara Melayu/ bumiputera dan kaum Cina.

Pendapatan isi rumah Melayu/bumiputera menunjukkan peningkatan sejak 15 tahun lalu, tetapi pendapatan isi rumah kaum Cina meningkat dua kali ganda dalam jangka masa sama.

Menurut pandangan seorang penganalisis dan penasihat ekonomi, mendiang Profesor Dr. Hoo Ke Ping, ini kerana majoriti orang Cina terlibat dalam perniagaan yang boleh memberi pendapatan berganda, sementara majoriti Melayu/bumiputera berada di dalam sektor pekerjaan terutama kerajaan yang memberi pendapatan tetap.

Menurut jadual yang dikeluarkan sendiri oleh Kementerian Ekonomi, jumlah isi rumah bumiputera di bawah kategori miskin ialah dalam lingkungan 1.23 juta.

Jumlah isi rumah kaum Cina di bawah kategori miskin pula dalam lingkungan 258,000. Secara kasarnya, jumlah orang Melayu miskin lebih ramai daripada orang Cina.

Ini tidak kita bincang lagi berkaitan jurang pendapatan yang semakin melebar antara orang Melayu dan orang Cina sepertimana pandangan Ke Ping tadi.

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) juga dalam laporannya turut menyatakan purata simpanan bumiputera adalah RM48,300 berbanding kaum Cina yang mempunyai purata simpanan RM125,000.

Secara umumnya, tidak bermakna orang Melayu itu terlalu mundur dari segi ekonomi dan kekayaan, namun realitinya kaum Cina telah terlalu jauh ke hadapan.

Perlu dinyatakan di sini, bukan kita mahu menidakkan hak kaum lain membuat harta dan kekayaan.

Apa yang kita mahu ialah membantu orang Melayu/bumiputera memperbaiki ekonomi dan pertingkatkan kekayaan supaya jurang perbezaan di antara kaum itu tidak terlalu jauh.

Hak istimewa orang Melayu yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan perlu dipertahankan. Kesamarataan pada ketika ini adalah satu ketidakadilan kepada Melayu/bumiputera. – UTUSAN

AZMAN MOHD. HASHIM, Jawatankuasa Sekretariat Tanah Air

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya