SAUDARA PENGARANG,
SITUASI yang dapat diperhatikan semasa Ramadan adalah rata-rata masyarakat mengamalkan pertuturan serta perlakuan berhemah dan berbudi bahasa.
Perwatakan dan sifat tersebut perlu disemai dan diteruskan pasca bulan Ramadan. Perlu ingat, tiada guna jikalau seseorang menjaga ibadah itu tetapi tidak mengawal lidah.
Ini jelas dan selaras dengan konsep Malaysia Madani yang antara lain menekankan tonggak kesejahteraan dan hormat.
Perasaan marah dan beremosi adalah sesuatu perkara yang biasa. Tiada individu di dunia ini yang tidak mempunyai ego tersendiri.
Malah, saya sendiri juga mengalami perasaan sedemikian apabila diuji. Namun, anggaplah ujian tersebut daripada Tuhan untuk menjadikan kita sebagai insan yang lebih baik.
Apa yang perlu dibuat adalah mengambil sedikit masa untuk memproses dan mengawal emosi bagi mengelakkan kita membalas dengan menggunakan perkataan kurang sopan atau kesat.
Tidak dinafikan terdapat banyak video yang tular di media sosial di mana kita dapat melihat sendiri penurunan dari segi aspek moral dan akhlak ditunjukkan sesetengah lapisan masyarakat.
Perlu ingat, kata-kata kesat, perlakuan kurang bermoral dan budaya terlebih liberal bukan cara orang Malaysia.
Justeru, saya menyeru kepada semua masyarakat untuk mengutamakan soal budi bahasa dan mengamalkan pertuturan serta tingkah laku berhemah.
Ia tidak patut dihadkan kepada musim perayaan atau bulan Ramadan sahaja. Jadikannya satu amalan hidup seharian.
Dalam pada itu, wajar kita menggunakan peluang ketibaan Ramadan untuk mengeratkan lagi silaturahim dan perpaduan antara kaum.
Gunakan bulan suci ini untuk melakukan muhasabah diri. Ingat kepada orang yang lebih susah dan menghulurkan pertolongan secara ikhlas.
Apa yang dinyatakan di atas tidak merupakan sesuatu yang baharu atau asing kerana perkara itu telah disemai dalam prinsip Rukun Negara. – UTUSAN
YEAP MING LIONG, Subang Jaya, Selangor










