Proton X50 saya banyak ‘gangguan’

Proton X50 saya banyak ‘gangguan’

PENULIS mengadu kereta Proton X50 yang diterimanya pada Mac tahun lalu mengalami pelbagai kerosakan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

PADA Mac 2022, Proton X50 keluaran perdana yang ditunggu-tunggu selama empat bulan akhirnya sampai ke tangan. Perasaan bahagia dan bangga melihat X50 merah keluaran syarikat nasional akhirnya menjadi milik saya.

Tujuh bulan pertama, segalanya berjalan lancar. Malang pertama menimpa pada Disember tahun lalu apabila penyaman udara mula meragam. Di sini bermulalah siri lawatan ke sebuah pusat servis Proton di Bangi.

Dalam kunjungan sulung, mekanik menjelaskan, gas penyaman udara habis. Saya telah menggunakan pelbagai jenis kereta, kali pertama masalah seperti ini berlaku. Sebagai penyelesaian, tambah gas.

Malangnya seminggu selepas itu masalah sama berlaku. Setelah diselidik oleh mekanik, katanya ada masalah evaporator (penyejat putar) yang memerlukan penggantian alat ganti baharu.

Baru lapan bulan sudah kena ganti? Tiada jawapan daripada mekanik. Pun begitu, saya akur dan menukar evaporator walaupun terpaksa menunggu stok sehingga sebulan.

Masalah berlaku lagi pada Mac lalu dan kereta saya tersadai lagi di pusat servis. Kali ini menurut mekanik, perlu ganti o ring pula.

Oh, Proton, apa sudah jadi? Satu demi satu peralatan diganti umpama kereta yang sudah di pusat servis. Katanya kali ini mengambil masa lebih lama kerana banyak kereta perlu disantuni dan kehadiran saya tanpa temu janji.

Mekanik umpama buntu, barang sudah diganti, gas sudah ditambah tapi masalah masih berulang, berulang dan berulang.

Keadaan ini menyebabkan saya perlu menanggung kos menaiki Grab ke tempat kerja dan tugasan luar (kos Grab lebih mahal berbanding kos petrol). Dalam masa sama, ansuran bulanan pinjaman kenderaan terpaksa dilunaskan seperti biasa.

Selain itu, turut mengalami kerugian masa dan tenaga berulang-alik ke pusat servis sehingga adakala menyebabkan gangguan mental kerana cuba memahami apa sebenarnya berlaku pada kereta baharu itu.

Bukan itu sahaja, saya berdepan masalah dengan majikan kerana perlu mengambil masa kerja untuk menguruskan ‘gangguan’ yang berlaku.

Saya amat berharap pihak Proton memandang berat masalah yang saya hadapi ini. Kalau setiap bulan saya perlu melalui penderitaan ini, apa guna membuang duit membayar ansuran serta menanggung kerugian-kerugian lain yang tentunya menyusutkan nilai pasaran kereta ini?-UTUSAN

PEMILIK X50 MASIH BERBANGGA DENGAN PROTON
Kuala Lumpur

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya