SAUDARA PENGARANG,
APABILA kerajaan pada Februari lalu bersetuju untuk meminda Perlembagaan Persekutuan bagi membolehkan kanak-kanak yang dilahirkan di luar negara kepada ibu warga Malaysia mendapat kerakyatan negara ini melalui kuat kuasa undang-undang, terdapat laungan kegembiraan dan kelegaan dalam kalangan ibu-ibu yang terkesan.
Langkah ini akan memastikan tiada lagi individu perlu menanggung beban undang-undang tidak sama rata ini.
Undang-undang tersebut telah menyebabkan perpisahan perit, ketidakpastian mendalam dan bahaya kepada wanita yang mengalami penderaan rumah tangga atau keretakan perkahwinan.
Akan tetapi harapan ini menjadi pudar apabila pembentangan pindaan di Parlimen ditangguhkan ke September ini untuk memberi ruang kepada satu jawatankuasa membuat kajian selama enam bulan.
Kami akur isu kepentingan negara memerlukan pertimbangan teliti tetapi isu kewarganegaraan yang tidak sama rata ini bukanlah isu baharu. Malah, ia sudah lama berlarutan dan telah diketahui oleh agensi kerajaan terbabit sejak 2018.
Kelewatan ini secara langsung memberi kesan kepada kami. Luahan kami bukanlah satu ketidaksabaran sebaliknya ini adalah rintihan timbul daripada keadaan yang mendesak.
Baru-baru ini, Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengumumkan sasaran mereka untuk memproses 10,000 permohonan kewarganegaraan pada tahun ini.
Kami amatlah mengalu-alukan langkah ini kerana majoriti ibu-ibu yang terkesan telah memohon kewarganegaraan di bawah Perkara 15(2), iaitu bagi anak kepada warganegara berumur kurang dari 21 tahun.
Bagaimanapun, kami perhatikan ada kelemahan dari segi pendekatan, masa menunggu yang panjang dan kekurangan ketelusan.
Pada April lalu, terdapat sekurang-kurangnya tiga ibu yang mengetahui bahawa permohonan mereka telah ditolak tiga tahun lalu.
Akan tetapi, sepanjang tempoh tersebut, mereka telah membuat semakan status permohonan dengan KDN dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN). Mereka diberitahu bahawa permohonan mereka masih dalam proses.
Untuk permohonan yang ditolak, tiada alasan atau sebab diberikan. Para ibu dibiarkan dalam kegelapan dan kekeliruan tanpa penjelasan mengapa permohonan mereka ditolak.
Ketiga-tiga ibu yang disebutkan telah menunggu selama lapan tahun. Ramai lagi dalam kalangan kami telah menunggu lebih lama dari itu dan ramai juga yang masih menunggu.
Baru-baru ini, KDN membuat kenyataan mengenai penolakan permohonan kewarganegaraan apabila pemohon tidak pernah tinggal di Malaysia.
Walaupun kami tidak pasti sama ada ini adalah kriteria digunakan untuk mempertimbangkan permohonan Perkara 15(2) untuk ibu-ibu warga Malaysia dan anak-anak mereka yang dilahirkan di luar negara, kami ingin menegaskan bahawa penolakan berdasarkan kriteria ini adalah tidak adil.
Terdapat sebab-sebab yang pelbagai dan kompleks mengapa wanita Malaysia mungkin terpaksa tinggal di luar negara bersama anak-anak mereka yang bukan warganegara.
Dalam pada itu, para ibu dalam rangkaian kami sangat berterima kasih jika Perdana Menteri sudi bertemu dengan kami.
Ini adalah peluang untuk Yang Berhormat mendengar daripada kami yang terkesan dan memahami isu ini dengan lebih mendalam.
Pemberian hak kewarganegaraan sama rata kepada wanita-wanita warga Malaysia dan anak-anak kami yang dilahirkan di luar negara adalah pelaksanaan konsep ihsan yang akan memberi makna sebenar kepada Malaysia Madani. – UTUSAN
RANGKAIAN IBU-IBU MALAYSIA UNTUK HAK KEWARGANEGARAAN YANG SAMA RATA, Kuala Lumpur