SAUDARA PENGARANG,
KEDATANGAN bulan Ramadan tahun ini berturutan dengan musim persekolahan anak-anak. Diikuti pula umat Islam disibukkan dengan persediaan menyambut Syawal. Pertembungan beberapa keperluan ini sudah pasti membebankan banyak pihak.
Walaupun demikian, sebagai umat Islam, kita mempunyai keyakinan bahawa setiap daripada kita telah ditentukan rezekinya dan perlu berusaha untuk mencarinya.
Dalam kesempitan mencari rezeki, sudah pasti ada yang tidak mengendahkan aspek utama sumber berkenaan. Setiap orang Islam perlu memastikan segala sumber rezeki adalah halal atau melalui jalan dibenarkan dalam syariat Islam.
Firman Allah SWT, maksudnya: “Wahai sekalian manusia! Makanlah dari apa yang ada di bumi yang halal lagi baik, dan janganlah kamu ikut jejak langkah syaitan; kerana sesungguhnya syaitan itu ialah musuh yang terang nyata bagi kamu.” (Al-Baqarah 2:186)
Sumber rezeki boleh terdiri daripada sumber pendapatan melalui upah pekerjaan yang dilakukan atau hasil keuntungan dalam perniagaan dijalankan termasuk secara dalam talian. Sewajarnya kita perlu amanah dan jujur dalam mencari sumber rezeki.
Justeru, bagaimana untuk mengatakan rezeki seseorang itu berkat jika sumber dan cara mendapatkannya sudah bercanggah dengan tuntutan syarak atau dari sumber tidak betul? Keberkatan dalam rezeki tertakluk kepada beberapa perkara yang memerlukan tindakan daripada diri individu itu sendiri.
Jadikanlah aspek mencari keberkatan dalam kehidupan sebagai perkara penting. Mungkin kita mempunyai sedikit harta tetapi ia cukup untuk melayari kehidupan tanpa meminta dan bergantung kepada orang lain.
Jangan jadi orang yang kaya, namun tidak pernah berasa cukup dengan apa yang dimiliki, bahkan sanggup menipu untuk meraih keuntungan dunia. Sesuai dengan kata-kata, biar kaya hati dan jiwa daripada kaya harta dan dunia semata-mata.
Akhir sekali, ingatlah bahawa sebagai seorang hamba, kebergantungan dan berharap kepada Allah SWT adalah segalagalanya. Dengan keberkatan dari-Nya, kehidupan akan dipenuhi dengan nilai kebahagiaan didambakan oleh semua orang yang beriman dan bertakwa.-UTUSAN
PROFESOR MADYA DR. KHADHER AHMAD
Akademi Pengajian Islam
Universiti Malaya