SAUDARA PENGARANG,
DATUK Mohd. Tamrin Abdul Ghafar ada membuat sedikit coretan sejarah yang menceritakan Tun Ghafar Baba, seawal usia 14 tahun telah menyertai Kesatuan Melayu Muda (KMM) sementara Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Tan Sri Senu Abdul Rahman menyertai Pertubuhan Belia Kebangsaan Bersatu Sarawak (SABERKAS) kerana semangat mereka menentang penjajah Inggeris dan mahu melihat Melayu bebas berkuasa di tanah air sendiri.
Malah, Khairy Jamaluddin baru-baru ini menyatakan, Dr. Mahathir tidak pernah mengancam orang bukan Melayu kerana beliau adalah seorang nasionalis sejak dari awal dahulu.
Secara peribadinya, sepanjang saya berbincang dan bermesyuarat bersama bekas Perdana Menteri itu, tidak pernah terkeluar dari mulut beliau mengenai bangsa lain selain Melayu. Beliau menumpukan cara untuk mengekalkan hak dan memajukan bangsa Melayu supaya setanding kaum lain.
Agak menjadi kehairanan juga apabila ada segelintir Melayu yang menghina dan mengeji beliau atas usaha-usaha dilakukan demi orang Melayu.
Sebagai contoh, usaha menyatukan orang Melayu melalui pengisytiharan Proklamasi Orang Melayu. Telah dijelaskan bahawa usaha ini bukan usaha politik. Ia hanya satu usaha untuk menyatukan orang Melayu supaya bersetuju dengan proklamasi tersebut dan buktikan orang Melayu boleh bersatu dengan hanya menurunkan tandatangan.
Namun, masih ada Melayu yang bersikap negatif dan skeptikal atas usaha sebegini, sanggup memburuk-burukkan usaha ini. Adakah bangsa yang tidak suka bangsanya sendiri bersatu?
Apa-apa usaha yang membawa penyatuan dan kesatuan adalah baik dan mulia, tidak kira di peringkat mana pun sama ada kumpulan kecil mahupun satu kampung, apakah lagi seluruh bangsa.-UTUSAN
AZMAN MOHD. HASHIM
Jawatankuasa Sekretariat Tanah Air