SAUDARA PENGARANG,
PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melakukan lawatan kerja rasmi ke Arab Saudi 22 hingga 24 Mac lalu bertujuan mengadakan pertemuan dengan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) yang disertai 57 buah negara Islam yang kebanyakannya terdiri dari negara-negara Timur Tengah dan Liga Muslim Dunia di Mekah.
Selain itu beliau juga menyaksikan pemeteraian tiga Memorandum Persefahaman (MoU) antara Dagang Nexchange Bhd dan Ajlan dan Bros Holding Group Co; Dewan Perniagaan Antarabangsa Kuala Lumpur dan Wadi Mekah Knowledge Co; dan Qhub International Sdn. Bhd dan Eromman Technologies Sdn. Bhd.
Delegasi juga diberi taklimat mengenai penglibatan meluas dalam bandar futuristik Neom, projek mega terbaharu Arab Saudi dan pelbagai peluang pihak industri dari Malaysia di negara berkenaan.
Turut dibincangkan mengenai isu yang melanda dunia Islam dan inisiatif membina jaringan, berdasarkan nilai serta rantaian kerjasama.
Pimpinan Arab Saudi memohon supaya tempoh kunjungan diperpanjangkan selama dua hari lagi untuk meneruskan pertemuan dengan pimpinan negara itu. Ini kerana Raja Arab Saudi dan Putera Mahkota telah menukar jadual menjelang bulan Ramadan.
Pada 25 Mac lalu beliau dan Kabinetnya mengadakan majlis berbuka puasa dengan Seri Paduka Baginda Yang di- Pertuan Agong, manakala pada 27 Mac pula mengadakan lawatan sehari ke Kemboja dan pada 29 Mac lawatan ke China bertemu dengan dua pemimpin besar China, Xi Jinping dan Li Qiang.
Tuntasnya pada 25 November tahun lalu, Raja Salman dalam perutusan tahniahnya menzahir agar rakyat Malaysia terus maju jaya serta makmur. Putera Mahkota pula menzahirkan agar rakyat Malaysia terus sejahtera di bawah kepimpinan Perdana Menteri baharu itu.
Arab Saudi merupakan destinasi eksport ketiga dan sumber import terbesar di rantau Asia Barat, dengan jumlah dagangan dua hala bernilai RM45.52 bilion (AS$10.26 bilion).
Perkara tersebut tidak termasuk keperluan kuota haji yang kita perlu dari Arab Saudi saban tahun.-UTUSAN
YOSRI ABU MAHSIN
Putrajaya