SAUDARA PENGARANG,
ADALAH disarankan seluruh institusi pengajian tinggi (IPT) mempermudahkan urusan untuk penganjuran sebarang jenis program atau aktiviti di tempat pengajian.
Sebarang kerenah birokrasi harus dikenal pasti dan dimansuhkan bagi memudahkan urusan mana–mana pihak untuk menganjurkan program.
Ini susulan kejadian Ahli Parlimen Muar yang juga Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mendakwa dirinya dilarang memasuki kawasan kampus induk Universiti Teknologi Mara (UiTM) bagi menghadiri satu sesi dialog, baru-baru ini.
Naib Canselor UiTM, Profesor Datuk Dr. Roziah Mohd. Janor dipetik media berkata, sepatutnya aktiviti pihak luar perlu mendapat kelulusan daripada universiti. Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) pula memaklumkan, mereka tidak menghalang mana-mana pihak termasuk ahli politik memasuki dan mengadakan program di institusi pengajian tinggi awam (IPTA).
Apa yang dikata oleh Naib Canselor UiTM dan dan KPT adalah benar. Sebarang program atau aktiviti yang ingin dianjurkan perlu dimaklumkan kepada pengurusan fakulti dan universiti itu sendiri serta memperoleh kelulusan. Ini bagi mengelak berlaku sebarang perkara tidak diingini khususnya terhadap pelajar.
Semua pihak harus faham, sekiranya terdapat perkara tidak diingini berlaku akibat penganjuran program atau aktiviti, pengurusan fakulti dan universiti harus bertanggungjawab. Pengurusan fakulti dan universiti harus mengutamakan tahap keselamatan pelajar mereka pada setiap masa.
Bergantung pada dasar dan polisi yang ditetapkan IPT masing-masing, penganjuran program atau aktiviti selalunya melibatkan beberapa proses seperti penyediaan kertas kerja untuk kelulusan oleh pengurusan fakulti dan kemudiaannya dibawa ke peringkat pengurusan seperti Timbalan Canselor ataupun Naib Canselor untuk diberi pertimbangan kelulusan selanjutnya.
Semua proses ini dilihat memakan masa dan boleh menyukarkan penganjuran sesuatu program atau aktiviti.
Oleh demikian, disarankan semua IPT menilai semula dasar dan polisi semasa diamalkan dalam urusan penganjuran program atau aktiviti. Diharapkan pengurusan fakulti dan universiti dapat memudahkan urusan penganjuran program atau aktiviti bagi mengelak sebarang konflik, salah faham atau perkara tidak diingini daripada berlaku.-UTUSAN
PROFESOR MADYA DR. MUZAFFAR SYAH MALLOW
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)