SAUDARA PENGARANG,
PERSATUAN Pengguna Pulau Pinang (CAP) bimbang lebih ramai generasi belia di Malaysia akan menjadi penagih nikotin berbanding penagih dadah jika bahan itu dikeluarkan dari Akta Racun 1952.
Bagi kami, cadangan itu hanya membuka laluan untuk kanak-kanak dan belia lebih ketagih terhadap nikotin.
Ini kerana mengeluar nikotin daripada Akta Racun 1952 sebelum Rang Undang-undang Kawalan Tembakau diluluskan akan memberi kanak-kanak akses tanpa halangan kepada produk vape yang mengandungi nikotin sekali gus menyebabkan generasi baharu kanak-kanak dan orang muda menjadi ketagih.
Pada masa ini sudah ribuan kanak-kanak dan remaja ketagihan vape dan e-rokok yang dijual secara meluas serta terbuka untuk golongan ini.
Situasi ini mengundang kebimbangan dalam kalangan ibu bapa, apatah lagi memikirkan masa depan mereka. Mereka tertanya-tanya apa yang akan berlaku jika nikotin dikeluarkan dari Akta Racun 1952?
Masalah berkaitan penggunaan rokok elektronik dan vape telah lama disuarakan oleh masyarakat melalui pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan badan profesional. Apa yang lebih membimbangkan apabila kerajaan telah mengumumkan hasrat untuk mengenakan cukai cecair vape bercampur nikotin dan pada masa yang sama akan mengecualikan cecair vape bercampur nikotin daripada Akta Racun 1952 tanpa kawalan jelas ke atas rokok elektronik dan vape.
Sehingga hari ini, kita tidak melihat usaha kerajaan mengawal produk berbahaya ini melalui Rang Undang-undang Kawalan Tembakau dan Hasil Merokok yang masih belum selesai.
Perkara ini amat dikesali kerana kerajaan jelas akan membenarkan penjualan rokok elektronik secara sah tanpa sebarang mekanisme mengawal rokok elektronik dan vape yang kini dijual secara meluas kepada kanak-kanak.
Berdasarkan Tinjauan Kesihatan Remaja yang dijalankan oleh Kementerian Kesihatan, terdapat peningkatan pengguna rokok elektronik atau vape dalam kalangan remaja berumur 13 hingga 17 tahun, iaitu daripada 9.8 peratus pada 2017 kepada 14.9 peratus pada 2022.
Oleh itu CAP menentang sekeras-kerasnya pengecualian nikotin daripada Akta Racun 1952 sehingga Rang Undang-undang Kawalan Tembakau dan Produk Merokok dengan Penjanaan Berhenti Merokok dibentangkan dan diluluskan.
Justeru, CAP menggesa cukai rokok elektronik mesti ditangguhkan.-UTUSAN
N. V. SUBBAROW
Aktivis Anti Merokok dan Pegawai
Pendidikan CAP