Kembalikan fitrah kepada Aidilfitri

Kembalikan fitrah kepada Aidilftri

TANPA sedar, menyambut Hari Raya Aidilfitri yang tidak patuh syariah dan tidak patuh fitrah sebenarnya telah mencemarkan bumi, mencemarkan fitrah insani dan mencemarkan Aidilfitri itu sendiri. – UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

HARI Raya Aidilfitri merupakan hari umat Islam meraikan kemenangan setelah berjaya kembali kepada fitrah kemanusiaan dan kehambaan menerusi asuhan madrasah Ramadan. Secara harfiah, ‘aidil’ berasal daripada perkataan Arab, aid iaitu perayaan. ‘Fitri’ pula bermaksud fitrah. Menerusi kombinasi dua kalimah ini, secara mudahnya Aidilfitri bermaksud hari raya fitrah.

Ironinya, umat Islam dasawarsa ini nampaknya semakin tersasar dalam meraikan Hari Raya Aidilfitri. Mereka tidak lagi mempeduli dan memahami maqasid hari raya, iaitu kembali kepada fitrah.

Umat Islam seharusnya menginsafi diri dan meneliti semula apa dimaksudkan dengan fitrah.

Realiti sambutan Hari Raya Aidilfitri pada alaf revolusi industri 4.0 ini tidak lagi selari dengan konsep fitrah. Berpakaian indah pada hari raya bukan lagi atas dasar sunnah tetapi kerana fesyen dan bermegah- megah.

Malah, sambutan Hari Raya Aidilfitri diraikan selama 30 hari sepanjang Syawal sedangkan sebenarnya hanyalah sehari, iaitu pada 1 Syawal sehinggakan pakaian indah dibeli dan ditempah secara mewah dan berlebihan untuk dipakai sepanjang Syawal bertujuan mengunjungi rumah terbuka.

Malah, dari pakaian dan makanan berlebihan inilah menjadi punca yang signifikan kepada pencemaran alam dan perubahan iklim yang disumbangkan oleh industri tekstil dan industri tani. Tanpa sedar, menyambut Hari Raya Aidilfitri yang tidak patuh syariah dan tidak patuh fitrah sebenarnya mencemarkan bumi, mencemarkan fitrah insani dan mencemarkan Hari Raya Aidilfitri itu sendiri.

Oleh demikian, setiap individu Muslim sebenarnya memikul tanggungjawab besar untuk berusaha kembali kepada tujuan sebenar sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Kesedaran ini perlulah didasari panduan agama dan diterjemahkan melalui kecerdikan akal, kekuatan pancaindera dan keluhuran hati nurani.

Apabila konsep fitrah ini diterapkan dalam diri, tidak akan ada lagi pembaziran makanan dan pakaian yang mencemarkan bumi.

Dalam erti kata lain, konsep fitrah hendaklah dipraktikkan dan menjadi asas kepada amalan Hari Raya Aidilfitri yang lestari.-UTUSAN

DR. MOHD ISTAJIB MOKHTAR
Fakulti Sains Universiti Malaya

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN