Kamera bukan untuk menghendap

Kamera bukan untuk menghendap

Kesihatan mental
PERLAKUAN mengendap boleh memberikan implikasi serius terhadap kesihatan mental mangsa akibat diganggu dan dihendap untuk jangka masa lama. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

WALAUPUN penggunaan pelbagai jenis teknologi seperti kamera litar tertutup (CCTV) serta kamera perakam video (dashcam) menjadi keperluan selain dilihat penting sebagai bahan pembuktian, kita harus memastikan ia tidak disalahgunakan oleh mana–mana pihak untuk tujuan jenayah atau mengganggu privasi seseorang.

Terdapat juga insiden penyalahgunaan kamera video untuk kegiatan hendap atau skodeng didalam tandas dan bilik salinan pakaian di pusat membeli belah seperti yang telah dilaporkan sebelum ini dalam negara kita. Perlu diketahui, kini tindakan undang–undang boleh diambil terhadap mana–mana pihak yang didapati melakukan perbuatan ini berdasarkan pindaan yang telah dilakukan ke atas Kanun Keseksaan (Akta 574) dan Kanun Acara Jenayah (Akta 593) yang telah menjadikan tindakan menghendap sebagai satu kesalahan dalam negara kita.

Pindaan berkenaan telah diluluskan di Dewan Rakyat pada 29 Mac lalu. Pada 7 April pula, Rang Undang–Undang (RUU) Kanun Keseksaan (Pindaan) 2023 dan RUU Kanun Tatacara Jenayah (Pindaan) 2023 bagi kesalahan menghendap telah diluluskan di Dewan Negara.

Rasional meminda akta ini bagi menjadikan perlakuan menghendap sebagai satu kesalahan kerana boleh menimbulkan perasaan takut dan bimbang serta mencapai tahap yang mana mangsa boleh dicederakan sehingga ada yang menyebabkan kematian.

Perlu diketahui, perlakuan mengendap boleh memberikan implikasi serius terhadap kesihatan mental mangsa akibat diganggu dan dihendap untuk jangka masa lama. Ia berdasarkan rekod hasil tinjauan syarikat penyelidikan dengan kerjasama Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO) pada 2020 melibatkan 1,008 orang responden yang telah mendapati perlakuan menghendap di negara ini adalah meluas dengan 36 peratus individu pernah dihendap dan berasa ketakutan, manakala ancaman (12 peratus ) serta mendapat kecederaan (17 peratus).

Hasil tinjauan juga mendapati perlakuan menghendap memberi kesan negatif kepada kehidupan seharian dari segi ekonomi, sosial, rekreasi dan hal ehwal penjagaan kanak–kanak.

Tinjauan juga menunjukan 69 peratus rakyat percaya menghendap adalah satu kesalahan. Beberapa buah negara luar sudah pun mengambil inisiatif ini lebih awal dalam mewujudkan undang–undang berkaitan perlakuan mengendap seperti Australia, Amerika Syarikat, United Kingdom, Kanada, India, Jepun dan Singapura.

Orang ramai dalam negara kita perlu diberi didikan dan kesedaran sepanjang masa supaya tidak menyalahgunakan kemudahan teknologi yang ada untuk melakukan kegiatan jenayah atau sebarang aktiviti yang tidak bermoral. Kemudahan teknologi yang dimiliki hendaklah digunakan dengan baik, berhati–hati dan penuh rasa tanggungjawab.-UTUSAN

PROFESOR MADYA DR. MUZAFFAR SYAH MALLOW
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN