Kalau bersedekah jangan ungkit, riak

Kalau bersedekah jangan ungkit, riak

SETIAP infak yang kita berikan adalah dalam pengetahuan Allah SWT walaupun ia dilakukan secara sembunyi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

RAMADAN merupakan bulan yang dimuliakan Allah SWT. Dalam bulan mulia ini, Allah SWT menggalakkan umat Islam memperbanyakkan ibadah dan menggandakan pahala. Selain berpuasa dan bersolat, amalan berinfak amat digalakkan. Ini kerana Allah SWT akan menggandakan pahala bagi mereka yang berinfak.

Pun begitu, terdapat larangan ungkit-mengungkit dan sifat riak dalam berinfak.

Dalam ayat 262 hingga 264, Allah SWT memberi peringatan kepada mereka yang berinfak agar menjauhi tiga sikap, iaitu ungkit-mengungkit, menyakiti hati penerima infak dan riak. Selain menunjukkan kesombongan penerima, ia juga menyebabkan penerima infak berasa terhina. Dalam ayat 265 surah al-Baqarah, Allah SWT memuji mereka yang ikhlas dalam berinfak. Allah SWT menjadikan infak ibarat satu pelaburan yang bakal mendatangkan pulangan teramat lumayan di akhirat kelak.

Oleh itu, jangan takut dalam bersedekah kerana Allah menjanjikan keampunan dan juga limpahan rezeki buat mereka yang berinfak dengan harta baik.

Pun begitu, Allah SWT Maha Melihat segala amalan hamba-Nya. Setiap infak yang kita berikan adalah dalam pengetahuan Allah SWT walaupun ia dilakukan secara bersembunyi dan tindakan itu jauh lebih baik.

Golongan bersedekah secara sembunyi termasuk dalam tujuh golongan yang beroleh naungan Allah SWT pada hari akhirat.

Akhir kata, marilah kita mengambil peluang dalam bulan Ramadan mulia ini untuk kita memperbanyakkan amalan bersedekah. Moga dengan infak yang kita berikan, Allah SWT mengampunkan dosa-dosa lampau dan mengurniakan syurga di hari akhirat kelak.-UTUSAN

DR. MUHAMMAD ARIF MUSA
Fakulti Pengajian Quran & Sunnah
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN