Jika rindu, cari dan ulang tayang sahaja - Utusan Malaysia

Jika rindu, cari dan ulang tayang sahaja

ANTARA syarikat yang terkenal dalam menghasilkan iklan raya sejak dahulu lagi ialah Tenaga Nasional Berhad (TNB).
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

SABAN tahun setiap kali bulan puasa menjelma, antara perkara membuatkan kita tertunggu-tunggu di hadapan kaca televisyen adalah iklan raya. Tiada iklan raya, tidak lengkap rasanya program televisyen di bulan Ramadan.

Sejak 1990-an, iklan-iklan raya mengalami revolusinya tersendiri. Sama ada iklan berbentuk ucapan sehinggalah ­filem pendek. Masing-masing mempunyai peminat tersendiri.

Kadang-kadang kita sendiri menanti dengan penuh teruja di hadapan televisyen hanya untuk menonton iklan raya. Malah, ada antara dialognya yang kita masih ingat sampai sekarang.

Bukan begitu? Antara syarikat yang terkenal dalam menghasilkan iklan raya sejak dahulu lagi ialah Celcom Axiata Berhad (Celcom), Telekom Malaysia (TM), Petroliam Nasional Berhad (Petronas), Proton Holdings Berhad (Proton) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Namun, sedikit demi sedikit syarikat-syarikat lain turut sama memeriahkan bulan puasa kita dengan iklan raya mereka yang tidak kurang hebatnya.

Antara iklan-iklan raya yang popular dan meninggalkan kesan kepada kita ialah Burung Apa? Burung Murai (2009), Aku Ingin Pulang (2007), Janda Anak Tujuh (2003) dan Ombak Jahat (2001).

Jika diperhatikan, kebanyakan jalan cerita atau kandungan iklan-iklan raya ini semuanya sesuatu yang dekat di hati kita iaitu keluarga, jiran dan masyarakat.

Tema-tema sebegini antara salah satu sebab mengapa iklan-iklan raya sentiasa menjadi tumpuan para penonton televisyen sejak dahulu lagi.

Isu anak-anak sibuk dengan kerja, kesibukan persiapan hari raya dan menu juadah raya adalah antara yang sering diketengahkan. Dan paling popular adalah isu ibu bapa yang menunggu kepulangan anak-anak berhari raya.

Uniknya, walaupun ini iklan raya disambut mereka yang beragama Islam, namun watak dan latar ditonjolkan adalah pelbagai dan tidak tertumpu kepada mereka yang beragama Islam sahaja.

Ini jelas antara salah satu usaha yang cuba dilakukan untuk menonjolkan betapa majmuknya rakyat di negara ini, di mana masyarakat kita saling melengkapi dan juga saling memerlukan.

Indahnya negara kita kerana masyarakat pelbagai kaum mampu hidup dengan aman dan harmoni dan apa yang ditonjolkan di dalam iklan raya adalah mesej yang jelas dan nyata.

Bagi merancakkan lagi iklan raya sesuai dengan peredaran zaman dan teknologi, ia kini bukan sahaja dapat ditonton melalui siaran televisyen tetapi juga melalui internet yang lebih mudah alih dan boleh ditonton pada bila-bila masa sahaja. Jika rindu, cari dan ulang tayang sahaja.

Malah, kemudahan ini turut membolehkan para penonton menikmati iklan-iklan ini dalam versi yang lebih panjang berbanding versi pendek ditayangkan di kaca televisyen.

Ini jelas menunjukkan bahawa mesej-mesej kekeluargaan yang ditonjolkan di dalam iklan raya tidak dimamah zaman dan akan terus berpanjangan sesuai dengan keindahan dan kesucian bulan-bulan mulia ini. – UTUSAN

DR. SITI AISHAH MOHAMMAD RAZI, Pensyarah Jabatan Komunikasi Fakulti Bahasa Moden & Komunikasi, Universiti Putra Malaysia (UPM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN