Jaga adab semasa memandu pulang beraya

Jaga adab semasa memandu pulang beraya

PENTING untuk kita menjaga adab dan peraturan dengan memandu dalam keadaan sopan, berdisiplin dan tertib.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

KEBIASAANNYA bagi orang yang merantau sama ada dengan tujuan menuntut ilmu, mencari rezeki atau mengikut pasangan, kerinduan kepada kampung halaman merupakan satu lumrah. Rasa rindu ini diperkuatkan lagi ketika menyambut perayaan besar dalam Islam seperti sambutan Aidilfitri dan Aidiladha.

Secara tradisinya, dalam meraikan sambutan raya, kepulangan ke kampung halaman atau bermudik merupakan satu amalan yang dilakukan oleh ramai orang. Malahan boleh menimbulkan konflik rumah tangga dalam pemilihan giliran pulang kampung.

Lazimnya, tradisi balik kampung menjadi aktiviti besar-besaran menjelang 1 Syawal. Kemeriahannya semakin dirasai apabila semakin hampir dengan hari raya hinggakan berlaku kesesakan parah di jalan raya dan lebuh raya. Kepenatan bagaikan tidak terasa walaupun telah melakukan perjalanan yang jauh dalam keadaan berpuasa.

Tradisi ini termasuk dalam amalan yang beroleh pahala kerana ia dapat menghubungkan silaturrahim antara ahli keluarga, jiran tetangga dan rakan taulan. Ibaratnya, yang jauh didekatkan, yang dekat dirapatkan dan yang rapat dieratkan.

Namun begitu, ia turut boleh mengundang dosa dan maksiat. Situasi ini boleh berlaku jika pemandu tidak menjaga adab dan aturan ketika di jalan raya. Umpamanya, melanggar peraturan had laju, melanggar lampu merah, memotong di lorong kecemasan, menjadi samseng jalan raya dengan membuli pemandu lain, memandu dengan bahaya dan membuka ruang kepada berlakunya kemalangan hingga menyebabkan kesesakan jalan raya, kerugian harta benda, kecederaan dan kehilangan jiwa.

Sebaliknya, adalah penting untuk kita menjaga adab dan peraturan dengan memandu dalam keadaan sopan, berdisiplin dan tertib.

Bagi pemandu yang akan mudik untuk menyambut lebaran, beberapa panduan ringkas boleh dipraktikkan seperti membaca doa untuk memohon keselamatan dan perlindungan dengan Allah SWT, tidak menjadi samseng dan pembuli jalan raya, tidak melanggar peraturan jalan raya, membuat perancangan yang teliti umpama memilih masa perjalanan yang disyorkan untuk menghindari kesesakan teruk, memilih laluan yang sesuai, mencari tandas dan tempat solat yang tidak padat (seperti keluar lebuh raya), membuat persediaan yang mencukupi umpama mendapatkan rehat yang cukup untuk mengelak tidur mikro, menyediakan bekalan makanan asas untuk bersahur atau berbuka, memastikan kenderaan dalam keadaan baik serta mengisi minyak lebih awal.-UTUSAN

PROFESOR MADYA DR. MOHD ANUAR RAMLI
Jabatan Fiqh dan Usul, Akademi
Pengajian Islam Universiti Malaya

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN