Hormati cadangan terkini Tabung Haji - Utusan Malaysia

Hormati cadangan terkini Tabung Haji

BANYAK cabaran yang dihadapi oleh Lembaga Tabung Haji bagi menguruskan pemergian umat Islam untuk menunaikan ibadah haji di Mekah. – UTUSAN/AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

LEMBAGA Tabung Haji (Tabung Haji) yang ditubuhkan pada 1963 adalah institusi utama yang menguruskan pemergian umat Islam Malaysia untuk menunaikan ibadah haji di Mekah.

Ia menyediakan perkhidmatan yang dapat membantu umat Islam untuk mendeposit wang bagi tujuan menunaikan ibadah haji.

Dana simpanan tadi akan digunakan untuk menampung kos perjalanan, penginapan dan perbelanjaan lain yang berkaitan dengan ibadah haji.

Di sebalik kemudahan dan perkhidmatan yang disediakan oleh Tabung Haji, jarang kita meneliti cabaran yang perlu dihadapi oleh lembaga itu dalam pengurusan haji.

Cabaran utama ialah peningkatan kos ibadah haji bagi umat Islam di Malaysia. Terdapat beberapa faktor yang menyumbang kepada peningkatan kos termasuk kadar turun naik pertukaran mata wang asing.

Jika nilai ringgit Malaysia lebih rendah berbanding riyal Arab Saudi, kos ibadah haji mungkin meningkat.

Di samping itu, jumlah umat Islam yang menunaikan haji semakin meningkat sejak beberapa tahun yang lalu.

Penambahan jumlah tersebut memberi kesan kepada ketersediaan perkhidmatan haji seperti penginapan, pengangkutan dan makanan.

Apabila permintaan melebihi penawaran, ini akan menyebabkan harga perkhidmatan menjadi lebih tinggi seterusnya menyumbang kepada peningkatan kos ibadah haji.

Selain itu, kos perjalanan udara, pengangkutan darat dan logistik lain yang diperlukan untuk ibadah haji juga boleh meningkat dan tertakluk kepada perubahan semasa.

Hal ini disebabkan oleh perubahan harga bahan api atau kos buruh di peringkat global.

Secara keseluruhannya, kos jemaah haji dipengaruhi oleh pelbagai faktor, antaranya di luar kawalan Tabung Haji atau kerajaan Malaysia.

Maka tidak hairanlah kerajaan baru-baru ini terpaksa memutuskan pakej-pakej tertentu mengikut kategori pendapatan individu bagi mengoptimumkan kemampanan kewangan Tabung Haji.

Kita harus hormat dan terima dengan hati yang terbuka langkah ini. – UTUSAN

DR. MUHAMMAD HAFIZ BADARULZAMAN, Universiti Utara Malaysia (UUM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN