SAUDARA PENGARANG,
BATUK kering (tibi) ialah penyakit lama yang merebak pada 1880-an. Sebab itu ia dianggap telah pupus di negara ini. Tetapi hakikatnya ia masih wujud sehingga kini. Tibi ialah endemik (penyakit yang sentiasa wujud) sama seperti demam denggi dan terbaharu, Covid-19.
Perangkaan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menunjukkan antara 20,000 hingga 25,000 kes tibi direkodkan di Malaysia setiap tahun yang mengakibatkan purata 1,500 hingga 2,000 kematian.
Jumlah kematian adalah lebih banyak berbanding demam denggi yang mencatatkan 50,000 hingga 100,000 kes jangkitan setahun dengan purata kira-kira 100 kematian direkodkan.
Biarpun kesedaran awam terhadap Covid-19 dan demam denggi adalah tinggi, ramai dalam kalangan kita jarang memikirkan kewujudan dan ancaman tibi dalam masyarakat.
Untuk mengingatkan semula, pandanglah bahagian atas lengan, sudah pasti kita akan ingat semula. Rakyat Malaysia ada parut suntikan vaksin Bacille Calmette-Guerin (BCG) untuk mencegah tibi yang diberikan semasa bayi dan pada waktu sekolah rendah.
Mungkin sebab itu kita berasa selamat, tetapi apa yang tidak kita ketahui adalah keberkesanannya semakin berkurang dari tahun ke tahun. Apabila kita dewasa, ramai dalam kalangan kita yang sudah tiada imuniti. Malangnya, tiada suntikan penggalak untuk vaksin tibi.
Tibi berpunca daripada bakteria Mycobacterium tuberculosis. Ia menyerang bahagian-bahagian berbeza pada tubuh badan. Paru-paru ialah organ paling kerap diserang.
Mereka yang paling terdedah kepada jangkitan ialah orang tua, individu rendah imuniti seperti pesakit kencing manis, pesakit kronik yang menjalani terapi steroid dan kanak-kanak. Orang lain yang berisiko termasuk mereka yang tinggal di ruang kediaman yang sesak seperti pekerja asing dan orang miskin.
Empat simptom utama tibi ialah batuk kronik, kuat berpeluh pada waktu malam, penurunan berat badan dan peningkatan suhu badan berulang pada waktu petang.
Salah satu cabaran dalam mengesan tibi ialah ia tidak menampakkan sebarang gejala secara serta-merta. Gejala boleh muncul berbulan atau bertahun setelah dijangkiti.
Permulaan simptom adalah tidak ketara dan mungkin tidak mencetuskan sebarang amaran sehinggalah penyakit itu sudah teruk apabila batuk berdarah. Diagnosis tibi ditentukan melalui beberapa ujian termasuk kaedah X-ray yang akan menunjukkan wujud rongga pada paru-paru.
Sebagai pencegahan, jumpalah doktor jika anda batuk berterusan selama dua minggu dan jangan tunggu sehingga batuk berdarah. Apabila pesakit dikesan menghidap tibi, doktor akan memberitahu pegawai kesihatan awam.
Pegawai tersebut akan memulakan pengesanan kenalan untuk mengenal pasti orang yang berkemungkinan terdedah kepada jangkitan daripada pesakit.
Berita baik, walaupun tibi berjangkit, ia tidak menular seperti Covid-19. Tibi disebarkan melalui titisan air yang datang dari batuk atau air liur. Bagaimanapun, tidak seperti koronavirus, bakteria tibi adalah berat.
Oleh itu, jangkitan hanya akan berlaku jika seseorang itu berhubung rapat dengan pesakit dan berlakunya pendedahan berpanjangan iaitu lebih dari lapan jam sehari seperti rakan sepejabat atau mereka yang tinggal dalam rumah sama.
Ubat-ubatan baharu berpotensi merawat tibi dalam tempoh tiga bulan tetapi di Malaysia belum ada kaedah itu yang menyebabkan rawatan kebiasaannya akan memakan masa selama enam bulan.-UTUSAN
PROFESOR DR. JAMES KOH
Universiti Perubatan Antarabangsa (IMU)