Hati-hati dengan ‘pencuri’ Ramadan - Utusan Malaysia

Hati-hati dengan ‘pencuri’ Ramadan

SEPANJANG Ramadan, lakukan amalan bersedekah setiap hari walaupun RM1.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

HARI ini, seolah-olah manusia tidak boleh hidup tanpa televisyen dan pelbagai gajet lain yang menyajikan pelbagai bentuk hiburan dan hampir setiap rumah memilikinya.

Saban hari kita menghabiskan masa berjam-jam semata-mata untuk menonton hiburan di televisyen dan gajet-gajet terbabit.

Terlalu banyak masa dibazirkan. Kita sibuk menonton rancangan sukan, filem atau drama dan lawak yang melalaikan.

Disebabkan televisyen dan gajet-gajet ini, kita tidak membaca al-Quran, malas ke masjid, kurang interaksi dan meninggalkan sembahyang berjemaah ekoran sibuk melayan hiburan.

Sebenarnya, televisyen merupakan ‘pencuri’ Ramadan yang paling akrab dengan kita kerana mencuri pahala puasa kita tanpa disedari.

Dalam pada itu, ketika Ramadan, kita terjumpa dengan menu-menu baharu yang diperkenalkan oleh peniaga.

Sepatutnya kita tidak menambah hidangan makanan sebaliknya memperbanyakkan amalan sunat yang lain untuk meraih cinta Allah SWT.

Ketika Ramadan datang, setelah kita melakukan perkara yang diwajibkan seperti puasa maka eloklah disusuli dengan amalan tambahan untuk diamalkan yang memberi ganjaran berlipat ganda pada kita.

Nak dapat berkat mesti ikut cara Nabi Muhammad SAW. Amalan yang dilakukan baginda sepanjang bulan puasa seperti bersahur, berdoa sebelum berbuka dan sembahyang sunat rawatib amat dituntut. Sembahyang sunat rawatib merupakan sembahyang sebelum atau selepas sembahyang fardu.

Selain itu, sembahyanglah di awal waktu, sembahyang berjemaah, sedekah setiap hari walaupun RM1 dan tidur sekejap sebelum zuhur dengan niat untuk menyambung ibadah seterusnya. Tidur begitulah yang menambah hidangan kita, bukannya tidur sepanjang hari.

Kita perlu memperbanyakkan amalan sunah yang menjana kehidupan sebagai seorang mukmin dan tidak membiarkan masa berlalu dengan penuh kerugian. – UTUSAN

PROFESOR MADYA DR. MOHAMAD KHADAFI ROFIE, Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun & Falsafah, Universiti Utara Malaysia (UUM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya