Caknakah kita dengan buli siber? - Utusan Malaysia

Caknakah kita dengan buli siber?

UNDANG-UNDANG mentakrifkan buli siber sebagai gangguan atau ugutan yang berlaku melalui komunikasi elektronik. – UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

RAMADAN sudah berakhir, itu bukan bermakna kita boleh kembali melakukan perkara tidak baik termasuk buli siber. Undang-undang mentakrifkan buli siber sebagai gangguan atau ugutan yang berlaku melalui komunikasi elektronik seperti mesej teks atau siaran imej di media sosial.

Gejala ini semakin meningkat di seluruh dunia dan banyak negara telah melaksanakan undang-undang berkaitan untuk menangani isu tersebut. Undang-undang ini bertujuan untuk melindungi individu daripada gangguan dan penderaan dalam talian.

Di sesetengah negara, buli siber dianggap sebagai kesalahan jenayah, manakala di negara lain pula, ia mungkin merupakan kesalahan sivil yang boleh mengakibatkan kerosakan.

Oleh yang demikian, ada negara telah melaksanakan undang-undang yang secara khusus menangani buli siber. Penalti untuk buli siber termasuk denda, khidmat masyarakat, bahkan penjara dalam beberapa kes.

Penguatkuasaan Peraturan Perlindungan Data Am (GDPR) juga telah dilaksanakan oleh Kesatuan Eropah termasuk peruntukan yang berkaitan dengan buli siber.

Dalam beberapa situasi, GDPR memberi hak kepada individu untuk memadamkan data peribadi mereka daripada pelantar dalam talian seperti apabila data tidak lagi diperlukan atau apabila individu itu menarik balik kebenaran mereka.

Di Malaysia, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 merangkumi peruntukan berkaitan buli siber. Akta itu melarang penggunaan rangkaian komunikasi untuk melakukan sebarang kesalahan, termasuk gangguan, ugutan dan fitnah.

Penalti kerana melanggar akta itu boleh termasuk denda dan penjara. Oleh yang demikian, bagi memerangi buli siber dan mempromosikan keselamatan dalam talian, antara inisiatif di Malaysia adalah kempen #StopCyberbullying yang dilancarkan pada 2016 dan program CyberSAFE pada 2019.

Kempen itu bertujuan mendidik rakyat Malaysia tentang kesan buruk buli siber dan menggalakkan mereka melaporkan insiden. Kempen ini juga menyediakan sumber dan sokongan untuk mangsa buli siber.

Terdapat beberapa cara untuk menyokong kempen terbabit. Antaranya, mengambil bahagian dalam bengkel, ceramah dan kempen yang dilaksanakan bagi membantu meningkatkan kesedaran dan menggalakkan tingkah laku dalam talian yang bertanggungjawab.

Selain itu, maklumat yang diperoleh daripada kempen dan program ini boleh dikongsi dengan rakan, keluarga juga rakan sekerja yang secara tak langsung dapat mempromosikan keselamatan dalam talian.

Perwatakan yang berani juga perlu apabila menjadi mangsa buli iaitu dengan memberanikan diri untuk melaporkan insiden buli siber yang boleh membantu pihak berkuasa untuk mengambil tindakan terhadap pembuli.

Justeru, dengan menyokong inisiatif ini, individu boleh menyumbang untuk mewujudkan komuniti dalam talian yang lebih selamat dan saling menghormati di Malaysia.

Secara keseluruhannya, buli siber merupakan isu serius yang memberi kesan kepada segenap masyarakat, terutamanya golongan muda yang lebih terdedah kepada kesannya. Ia boleh menyebabkan tekanan emosi, kemurungan, kebimbangan dan juga membawa kepada bunuh diri.

Oleh itu, selain adanya undang-undang mengenai buli siber, adalah penting juga untuk menyokong kempen kerajaan yang bertujuan mencegah pembuli siber dan mempromosikan keselamatan dalam talian. – UTUSAN

IRMA SYARLINA CHE ILIAS, Institut Teknologi Maklumat Malaysia, Universiti Kuala Lumpur (UniKL-MIIT)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya