SAUDARA PENGARANG,
BANJIR monsun terutama bagi negeri di Pantai Timur semakin kerap berlaku dan negeri bersempadan juga mendapat tempiasnya. Ini disebabkan perubahan cuaca dan pemanasan global seperti mana juga ia berlaku di negara-negara lain walaupun status negara maju.
Kerajaan pada tahun lalu bercadang menyediakan peruntukan sebanyak RM7 billion bagi pelaksanaan projek tebatan banjir terutama di negeri pantai timur.
Untuk makluman, tebatan banjir jenis benteng bukan satu-satunya jalan penyelesaian terutama bagi masalah banjir besar luar biasa. Benteng tebatan banjir hanya sesuai dibina untuk banjir berskala kecil atau dalam erti kata lain sedalam tiga hingga enam kaki sahaja. Ini kerana jika air melebihi 10 kaki akan turut tenggelamkan tebatan banjir.
Oleh itu tebatan banjir jenis benteng mungkin sesuai dibina di tempat dan lokasi terpilih yang sesuai sahaja, manakala pilihan lain yang bersifat jangka panjang ialah penempatan semula mangsa banjir.
Kerajaan negeri dan Pusat perlu selaraskan dan kenal pasti tanah kosong kerajaan negeri yang berbukit sederhana tinggi yang sesuai dijadikan perumahan penempatan mangsa banjir. Manakala bajet tahunan perlu ditambah untuk penyelenggaraan sungai secara berkala agar sentiasa berkeadaan dalam dan tidak cetek disebabkan mendapan lumpur, tanah, pasir dan sampah akibat dari terokaan hutan serta pembangunan.
Di samping itu juga pembinaan tebatan banjir sepatutnya tidak mengorbankan tanah bukit. Pilihan terbaik ialah menggunakan pasir dan tanah sepenuhnya dari dasar sungai yang secara tidak langsung menjadikan sungai lebih dalam dan melambatkan limpahan air sungai yang menyebabkan banjir. Ia juga dapat menjimatkan kos tanah dan mengurangkan kos-kos lain.-UTUSAN
TEROPONG DO RE MI
Setapak, Kuala Lumpur