SAUDARA PENGARANG,
PERNAHKAH anda menerima satu panggilan daripada nombor yang tidak dikenali? Pemanggil dalam talian memperkenalkan diri sebagai pegawai Perbadanan Insurans Deposit Malaysia (PIDM).
Macam selalu dengar di radio, iklan pun ada. Maka benarlah pegawai ini berkata PIDM memberi perlindungan insurans. Daripada perbualan tentang satu perkara membawa kepada yang lain, akhirnya anda bersetuju untuk mendaftar dan membayar yuran bagi perlindungan PIDM.
Awas, anda baru sahaja ditipu. Penipu memang bijak menyamar sebagai pegawai PIDM sehingga anda terpedaya. Panggilan sebegini memang selalu menyalahgunakan nama pihak berkuasa seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Bank Negara Malaysia (BNM) dan lain-lain lagi termasuk PIDM.
Anda mungkin tahu secara asas bahawa peranan PIDM adalah melindungi simpanan di bank dan manfaat takaful serta insurans sekiranya ahli PIDM muflis. Namun, alangkah baiknya jika anda tahu tentang perlindungan ini secara lebih terperinci agar tidak mudah terpedaya oleh penipu.
Adakah PIDM ini berfungsi seperti syarikat insurans dan orang ramai perlu membayar premium? Jawabnya, tidak. PIDM bukan syarikat insurans dan anda tidak perlu membayar apa-apa pun.
PIDM ialah sebuah agensi kerajaan yang ditubuhkan pada 2005 di bawah Akta PIDM bagi mentadbir dua sistem perlindungan iaitu pertama, Sistem Insurans Deposit (DIS) yang melindungi deposit yang disimpan di bank ahli PIDM sekiranya berlaku kegagalan bank (muflis) sehingga RM250,000 bagi setiap pendeposit di setiap bank ahli.
Kedua, Sistem Perlindungan Manfaat Takaful dan Insurans (TIPS) yang melindungi manfaat takaful dan insurans pemegang sijil takaful atau polisi insurans sekiranya pengendali takaful atau syarikat insurans mengalami muflis. Bergantung kepada sijil takaful atau polisi insurans anda, PIDM melindungi manfaat takaful atau insurans yang layak sehingga RM500,000.
Tetapi ingat! Perlindungan PIDM ini bersifat automatik dan percuma. Ini bermakna anda tidak perlu mendaftar dan membayar untuknya. Ia berkuat kuasa sebaik sahaja akaun bank anda dibuka dan sijil takaful atau polisi insurans anda diaktifkan.
Jadi anda harus waspada tentang penyamaran penipu yang menuntut bayaran yuran bagi perlindungan PIDM. Selain itu, terdapat beberapa bentuk penipuan kewangan lain yang melibatkan PIDM.
Antaranya ialah pertama, menyamar sebagai entiti pelaburan sah yang terkemuka dan meyakinkan mangsa dengan sijil- sijil perlindungan pelaburan beserta logo yang kononnya dikeluarkan oleh PIDM. Namun, itu semua adalah penipuan kerana PIDM tidak melindungi sebarang skim pelaburan.
Kedua, kononnya dividen pelaburan disekat oleh PIDM dan anda perlu membayar wang perlindungan insurans bagi meluluskan pemindahan wang ke akaun anda walhal pelaburan itu sendiri adalah penipuan.
Ketiga, menyamar sebagai pemberi pinjaman wang yang meminta mangsa membayar perlindungan PIDM sebelum mereka meluluskan pinjaman.
Sekiranya anda mendengar arahan ‘bayar’ untuk perlindungan PIDM, anda tahu bahawa ini adalah satu perkara yang tidak boleh dipercayai.
Menurut statistik aduan yang diterima oleh PIDM, terdapat sejumlah 380 aduan untuk 2021 dan 2022. Sebanyak 312 daripadanya melibatkan salah guna nama dan logo PIDM untuk tujuan penipuan.
Maka, yang penting untuk kita ingat ialah PIDM hanya akan membayar balik simpanan bank atau memenuhi tuntutan manfaat takaful atau insurans yang layak sekiranya bank ahli atau ahli penginsurans PIDM mengalami kegagalan atau jatuh bankrap.
Sebelum anda membuat apa-apa bayaran yang melibatkan nama PIDM, elok hubungi perbadanan itu secara terus di talian bebas tol 1800881266 atau e-mel kepada [email protected] bagi mendapatkan kepastian. – UTUSAN
RIDZUAN ABDUL RAHIM, Pengurus Kanan Jabatan Komunikasi Korporat, Perbadanan Insurans Deposit Malaysia (PIDM)