SAUDARA PENGARANG,
SEBELUM ini Utusan Malaysia menerbitkan artikel bertajuk Peneroka Felda mahu bonus raya pada 11 April lalu. Artikel berkenaan menyentuh harapan warga peneroka Felda yang mengharapkan bonus atau bantuan khas Hari Raya Aidilfitri seperti dinikmati penjawat awam.
Memetik kenyataan Pengerusi Biro Sosial Gabungan Ketua-Ketua Peneroka Felda Wilayah Jengka, Razak Daud, warga peneroka Felda sudah lama tidak dapat duit raya sebagaimana dinikmati sebelum ini.
Peneroka Felda mahu bonus sebagai hadiah penghargaan kerajaan dan Felda kepada peneroka kerana titik peluh peneroka adalah penyumbang penting ekonomi negara. Melalui hasil sawit peneroka yang diniagakan, Felda mendapat berbilion ringgit keuntungan setiap tahun.
Justeru, sepatutnya Felda prihatin dengan memberikan bonus hari raya kepada 112,635 peneroka dalam meringankan bebanan yang ditanggung menjelang 1 Syawal.
Pengerusi Felda wajar mencontohi cara pengerusi-pengerusi sebelumnya yang mengambil berat terhadap peneroka apabila tibanya hari raya. Kenangkanlah jasa-jasa peneroka yang sekarang di usia emas.
Bukan sahaja di berikan bonus hari raya, peneroka-peneroka yang bekerja tanpa mengira penat dan lelah ini sewajarnya diberikan elaun bulanan bagi warga emas sekurang-kurangnya RM300 setiap bulan.
Ini kerana Felda menempa kejayaan daripada usaha gigih peneroka dari usia muda sehinggalah mereka meningkat tua.
Felda juga gah menempa kejayaan memperoleh keuntungan berbilion ringgit setiap bulan. Apa salahnya hulurkan sumbangan raya kepada peneroka?
Felda juga berjaya mengutip zakat daripada peneroka dengan nilai ratusan ribu ringgit. Oleh kerana ini peneroka wajar memberi zakat antara RM100 hingga RM300 setiap seorang.
Namun sayang, Felda sendiri tidak mahu berwakaf kepada peneroka berusia emas dan tidak sihat.-UTUSAN
MABAROKA
Pahang










