Ramai tidak sedar kehebatan wanita dari pelbagai sudut - Utusan Malaysia

Ramai tidak sedar kehebatan wanita dari pelbagai sudut

WANITA dianugerahkan dengan sifat empati dan keibuan serta dapat merasai perasaan orang lain dengan lebih baik. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

WALAUPUN tarikh sambutan Hari Wanita Antarabangsa pada 8 Mac lalu telah lama berlalu, mungkin belum terlambat untuk saya mengingatkan kembali tentang kehebatan wanita.

Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) memilih Kasih Wanita sebagai tema sambutan untuk tahun ini.

Akronim kasih itu sendiri telah memaparkan mengenai ciri-ciri kehebatan wanita iaitu k membawa maksud kasih sayang sebagai menghargai wanita yang sentiasa mencurahkan kasih sayang.

Huruf a atau akhlak mulia pula sinonim dengan sifat wanita yang sentiasa menerapkan dan mengekalkan akhlak mulia manakala s merujuk kepada sihat iaitu mengenai sifat wanita yang selalu memastikan diri dan keluarga sihat.

Sementara itu, huruf i adalah merujuk kepada ilmu iaitu mengenai hakikat wanita hari ini dilihat turut sama bersaing seiring kaum lelaki dalam mempertingkatkan ilmu pengetahuan.

Huruf h pula ialah harmoni, sinonim dengan sifat wanita yang sentiasa memelihara keharmonian sekeliling.

Wanita kini dilihat lebih hebat dan kuat dalam menghadapi pelbagai cabaran dan liku kehidupan. Biarpun mereka jatuh, mereka lebih cepat bangkit semula.

Kita semua juga dilahirkan oleh wanita yang hebat dan kuat. Melahirkan dan mendidik bukanlah satu perkara mudah dan kecil jika dilihat dari kaca mata manusia. Ia memerlukan pengorbanan dan kekuatan yang tidak lain tidak bukan dipikul oleh wanita.

Antara kelebihan dimiliki wanita adalah kebiasaannya dianugerahkan dengan lebih sifat empati dan keibuan seterusnya dapat merasakan perasaan orang lain dengan lebih baik.

Mereka mempunyai kemampuan untuk memahami apa yang orang lain rasakan. Wanita juga selalu memiliki kecenderungan yang kuat untuk berfikiran kreatif dan berinovasi.

Mereka menemui pelbagai jalan penyelesaian unik untuk masalah rumit dan memberikan idea serta buah ­fikiran segar, dalam masa sama memberi motivasi kepada orang lain.

Wanita tidak mudah menyerah sebaliknya terus berjuang sehingga menemukan hasil untuk mencapai apa yang mereka inginkan dalam kehidupan baik untuk diri sendiri atau ahli keluarga mereka.

Setiap cabaran dan halangan akan diselesaikan semampunya. Lebih hebat lagi, wanita sering kali memiliki kemampuan untuk melakukan beberapa tugasan dalam satu masa seperti bekerja sambil mengurus keluarga atau kegiatan sosial lainnya.

Mereka dilihat memiliki kelebihan dengan naluri yang kuat dan sering dapat meramalkan apa yang akan terjadi atau merasakan perubahan suasana dan hati orang lain.

Naluri ini sangat penting dalam menunjukkan keprihatinan dalam apa jua yang berlaku di sekelilingnya dan dalam masa sama wanita lebih berhati-hati sekiranya berhadapan situasi bahaya dan sukar.

Wanita memiliki keterampilan sosial yang baik dan mudah untuk berhubungan dengan orang lain. Mereka cenderung memiliki kemampuan untuk membangun hubungan yang kuat dan memberi inspirasi kepada orang lain untuk berbuat lebih baik.

Sifat kelembutan yang ada dalam diri wanita kini bukan lagi dilihat sebagai petanda mereka lemah, malah sebenarnya wanita mampu memecahkan masalah secara kreatif dengan menggunakan pelbagai pendekatan.

Mereka juga sering melihat masalah dari pelbagai sudut yang mana mungkin kelihatan sulit dan kompleks pada pandangan orang lain, namun hakikatnya ia dapat membantu dengan lebih cepat dalam proses penyelesaian masalah. – UTUSAN

NURULISYAZILA OTHAMAN, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.