SAUDARA PENGARANG,
TERUTAMA sekali syabas kepada Kerajaan Perpaduan yang dipimpin oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana membentangkan Belanjawan 2023 yang mesra golongan bawahan.
Semasa mendengar pembentangan Belanjawan 2023 pada 24 Februari lalu oleh Anwar yang juga merangkap Menteri Kewangan, saya mengambil sedikit masa untuk memahami perkataan-perkataan yang digunakan dalam pembentangan tersebut. Contohnya seperti perkataan ‘ketimbang’ yang digunakan bagi menggantikan perkataan ‘berbanding’.
Saya yang merupakan bangsa Melayu pun mengambil masa untuk memahami maksud perkataan-perkataan yang digunakan, apatah lagi bagi bukan Melayu yang mungkin kali pertama mendengar perkataan ini. Perkataan ‘ketimbang’ lebih banyak digunakan di Indonesia.
Pada pembentangan Belanjawan itu juga, Anwar menyebut perkataan ‘berbeza’ sebagai ‘berbeda’ sama seperti sebutan rakyat di negara jiran.
Anwar yang berkelulusan Pengajian Melayu di Universiti Malaya sejak dulu suka menggunakan istilah unik terutama yang lebih popular digunakan di negara seberang seperti ‘bobrok’.
Bagi saya, jika pemimpin negara lebih gemar menggunakan perkataan yang agak asing dan lebih biasa didengar di negara seberang, sudah pasti mesejnya mungkin lambat sampai kepada rakyat.
Wujud kerisauan jika budaya ini diteruskan maka lama-kelamaan perkataan ‘lebih kurang’ yang biasa digunakan di negara ini akan bertukar menjadi ‘kurang lebih’ mengikut stail bahasa Indonesia.
Bahasa Melayu di Malaysia dan di Indonesia walaupun pada zahirnya nampak sama tetapi memiliki identiti tersendiri.-UTUSAN
PEMERHATI
Kuala Lumpur