Pelaburan hartanah berisiko tanpa ilmu - Utusan Malaysia

Pelaburan hartanah berisiko tanpa ilmu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

PELABUR hartanah di Malaysia perlu mengambil pengajaran dari kesan yang berlaku ketika Covid-19. Perlulah sentiasa diingatkan bahawa penurunan harga rumah tidak semestinya menjadikan kediaman itu mampu dimiliki. Ini kerana pasaran hartanah bukan satu-satunya sektor yang terkesan akibat Covid-19.

Secara umumnya, kejatuhan harga rumah boleh membantu merealisasikan impian memiliki kediaman, terutamanya bagi pembeli kali pertama. Ini kerana sejak sedekad lalu (bermula 2010), harga rumah meningkat dengan pesat tanpa sokongan ekonomi yang seimbang. Ini telah menyebabkan kemerosotan dalam kemampuan membeli rumah di seluruh negara.

Pada masa yang sama, pasaran hartanah negara turut terjejas oleh faktor lain, seperti ketidakpadanan dalam tawaran (dari segi produk, harga dan lokasi) dan faktor lain yang mengurangkan lagi kuasa beli pengguna.

Oleh itu, kejatuhan harga rumah semasa Covid-19 boleh menjadi tempoh ‘pembetulan harga’ untuk pasaran yang dapat membantu mengurangkan harga ‘kemasukan awal’ untuk pembeli rumah.

Dalam situasi dan keadaan ekonomi sekarang, pelabur hartanah yang bijak perlulah lebih fokus dan lebih berwaspada dalam pemilihan hartanah. Ini disebabkan oleh keadaan ketika pandemik banyak mengajar kita tentang perancangan yang lebih teliti.

Bagi pelabur hartanah, pemilihan hartanah sangatlah penting bagi mengelak kerugian besar di masa hadapan. Faktor-faktor yang perlu dititikberatkan dalam pelaburan selain lokasi ialah mengenal pasti harga median hartanah di kawasan yang ingin dilaburkan.

Harga median ialah titik tengah bagi harga rumah atau kediaman yang dijual dengan harga pasaran ketika dalam tempoh masa seperti secara suku tahun, bulanan, tahunan dan sebagainya. Harga median hartanah juga boleh dijadikan sebagai penunjuk harga pasaran semasa bagi unit kediaman mengikut negeri dan kawasan.

Dengan mengetahui harga median bagi sesuatu kawasan itu, kita mungkin tidak boleh tertipu dengan tawaran harga yang kedengaran menakjubkan tetapi hanya indah khabar dari rupa.

Selain itu, perlu juga ambil tahu faktor luaran hartanah seperti infrastruktur, komersial, populasi, pemandangan dan institusi pengajian yang mendorong kenaikan harga bagi memudahkan pencarian penyewa atau untuk dijual.

Kesimpulannya, pelaburan hartanah juga boleh menjadi berisiko sekiranya kita tidak membuat kaji selidik, pelan dan tiada pengetahuan dalam bidang ini. – UTUSAN

SITI NOR UMIRAH MOHAMAD GHAZALI & PROFESOR MADYA DR. NURADLI RIDZWAN SHAH MOHD. DALI, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.