SAUDARA PENGARANG,
GURAUAN atau lawak jenaka seringkali diselitkan dalam kehidupan seharian bagi memastikan suasana bekerja atau bersosialisasi tidak terlalu bosan. Ia membantu dalam mengurangkan sedikit tekanan dalam kehidupan.
Walau bagaimanapun, banyak unsur gurauan atau lawak jenaka dewasa ini berbaur lucah atau mempunyai maksud tersirat dilihat semakin berleluasa dan parah amat jelas tidak menghormati hak-hak wanita.
Sebagai sebuah negara yang terdidik dengan sopan santun, budaya hormat-menghormati, jelas sekali kemuliaan, kehormatan dan martabat wanita dipandang remeh. Topik berkaitan penyataan seksis dan sensitiviti wanita dipandang enteng dan dijadikan topik sebagai hiburan. Ini banyak terjadi dalam adegan drama, wayang, lukisan termasuk perbualan seharian.
Pernyataan berbaur seksis dan negatif secara tidak langsung memberikan kesan kepada bagaimana seorang wanita dilihat dari perspektif masyarakat. Sentimen negatif termasuk menghina penampilan, tahap intelek, pengalaman seksual dan kestabilan mental.
Kesan psikologi terhadap wanita amat mendalam. Walaupun dunia semakin mengiktiraf wanita untuk bersama menggalas tanggungjawab dalam memantapkan bukan sahaja hal berkaitan keluarga tetapi juga negara, masyarakat yang melampaui dalam gurauan dilihat seperti tidak menghargai jasa wanita.
Kesan emosi wanita hasil daripada tekanan yang dihadapi boleh meningkatkan ketidakyakinan diri, berasa sedih, marah dan dikhautiri boleh memberikan kesan berpanjangan sekiranya tidak mempunyai sistem sokongan yang padu dari keluarga, rakan sekerja mahupun masyarakat.
Rakyat perlu prihatin dan ambil maklum bahawa setiap pesalah yang melakukan gurauan yang melampaui batas boleh disabitkan hukuman di bawah Seksyen 211 dan 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu dikenakan tindakan saman tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi tempoh setahun atau kedua-duanya sekali.
Jadi, bukan tempatnya kita melucahkan golongan wanita hanya untuk secebis perhatian murahan di layar perak.-UTUSAN
DR. AZMAWATY MOHAMAD NOR
Jabatan Psikologi Pendidikan dan Kaunseling, Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya