Kesaksamaan wanita jangan sampai melampaui batas - Utusan Malaysia

Kesaksamaan wanita jangan sampai melampaui batas

KERAJAAN memperkenalkan pelbagai inisiatif bagi membolehkan wanita yang menjadi ibu terus berjaya dalam kerjaya.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

DALAM Belanjawan 2023 diumumkan pelbagai inisiatif untuk membantu wanita termasuk di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) bagi menggalakkan wanita yang sebelum ini terpaksa berhenti kerja selepas tempoh cuti bersalin untuk menjaga anak-anak diberi peluang kembali bekerja.

Inisiatif ini menjadi pemangkin dan menyuntik semangat golongan wanita agar menjadi seorang ibu dan dalam masa sama tidak menghalang mereka untuk terus berjaya dalam kerjaya.

Selain itu, cadangan mewujudkan unit khas di bawah Bahagian D11, Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk membanteras aktiviti pornografi­ kanak-kanak dapat memperluaskan lagi usaha kerajaan untuk menjaga kesejahteraan wanita, keluarga dan masyarakat di negara ini.

Peruntukan juga diberikan untuk membantu dan membangun ekonomi wanita termasuk melalui kursus-kursus keusahawanan dan perniagaan khususnya bagi mereka yang hilang pendapatan dan ibu tunggal.

Mereka akan dibimbing berdasarkan kemahiran untuk menceburi bidang keusahawanan seperti e-dagang, dropship (pesan hantar) dan perniagaan kecil-kecilan.

Kursus-kursus keusahawanan bertujuan memperkasa ekonomi mereka dan tidak terus bergantung kepada bantuan kerajaan sepenuhnya.

Dalam kerangka lebih besar, kerajaan akan memastikan wanita dapat terus melangkah ke depan selari dengan semangat Malaysia Madani yang mahukan kemakmuran dan kekayaan negara dikongsi dengan adil dan saksama secara inklusif untuk seluruh rakyat tanpa mengesampingkan golongan wanita.

Berdasarkan data Jabatan Perangkaan Malaysia, pada 2020, wanita mewakili 48.5 peratus penduduk negara, iaitu 15.83 juta orang.

Justeru, usaha memperkasa wanita bagi mendapat ruang dan peluang yang adil bagi memajukan potensi diri ke arah kehidupan lebih bermakna dan sejahtera penting untuk dilaksanakan.

Dalam konteks ini, pendekatan secara komprehensif bagi memartabatkan wanita dalam bidang-bidang utama, iaitu ekonomi, pendidikan, kesihatan, kepimpinan, keselamatan dan perundangan perlu diperkukuhkan lagi.

Ia mesti berteraskan kepada agama, budaya bangsa dan nilai-nilai murni seperti yang digariskan dalam kerangka memperkasa wanita sebelum ini.

Teras-teras tersebut penting supaya kesaksamaan yang diberikan kepada wanita tidak sampai melampaui batas yang boleh merosakkan diri, keluarga dan masyarakat seperti dialami wanita Barat.

Memang kita boleh berbangga dengan pencapaian wanita di negara ini yang semakin maju ke depan. Semakin ramai mencipta kejayaan dalam pelbagai bidang. Namun, ketinggian akhlak dan moral wanita perlu juga dijaga.

Dalam pada itu, berdasarkan skor Malaysia dalam Indeks Jurang Gender Global 2021 menunjukkan keterlibatan wanita dalam beberapa bidang seperti ekonomi dan politik masih perlu dipertingkatkan.

Negara boleh berbangga apabila polisi yang menyasarkan 30 peratus wanita dilantik di peringkat pembuat keputusan di sektor awam telah mencapai sasaran.

Pada Februari 2022, statistik menunjukkan dalam sektor awam, wanita berjaya mencapai sasaran melebihi 38 peratus, manakala sektor swasta 25.8 peratus.

Apa yang penting, kerajaan perlu terus merancang penyelarasan dan koordinasi antara pelbagai pihak untuk meningkatkan pembangunan wanita dalam bidang-bidang lain.

Selain itu, kerajaan perlu membuat perubahan berterusan kepada dasar-dasar dan undang-undang sedia ada bagi meningkatkan lagi keyakinan dan keupayaan wanita untuk sama-sama menyumbang kepada pembangunan keluarga, masyarakat dan negara. – UTUSAN

MOHD. AYOP ABD. RAZID, Penganalisis sosiopolitik bebas

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya