Kerajaan perlu fokus mendepani cabaran ekonomi - Utusan Malaysia

Kerajaan perlu fokus mendepani cabaran ekonomi

LANGKAH mitigasi yang tepat dapat membantu memulihkan ekonomi dan menyelesaikan masalah rakyat. – UTUSAN/ASWAD YAHYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

PRESTASI ekonomi Malaysia yang diukur berdasarkan perbandingan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tahun ke tahun menunjukkan peningkatan tertinggi sejak dua dekad lalu apabila mencatatkan pertumbuhan 8.7 peratus pada 2022.

Namun, jika dilihat secara lebih mikro (perbandingan suku tahun ke suku tahun), prestasi ekonomi negara menguncup pada suku terakhir 2022 pada kadar 2.6 peratus

Justeru, kerajaan tidak boleh terlalu leka dan perlu melaksanakan langkah mitigasi yang tepat memandangkan ekonomi global pada tahun ini diunjurkan lebih merudum berbanding tahun lalu.

Kerajaan perlu memastikan ekonomi negara stabil dan segala permasalahan rakyat dapat diatasi sebaiknya sama ada untuk jangka masa pendek, sederhana dan panjang.

Kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR) yang berterusan menjejaskan pendapatan boleh guna dan mengurangkan kuasa beli rakyat. Melalui pelaksanaan moratorium, ia boleh meningkatkan kembali perbelanjaan pengguna dan seterusnya menjana ekonomi negara.

Dalam masa sama, kerajaan perlu memastikan bank tidak mengambil kesempatan atas kesempitan rakyat. Bukan itu sahaja, malah kerajaan sewajarnya memberi alternatif kepada individu yang terdesak untuk mengeluarkan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mereka.

Perlu juga diperluaskan pelaksanaan skim sewa beli kediaman kerana ia dapat membantu golongan kurang berkemampuan memiliki rumah tanpa deposit yang banyak. Ia juga mampu merealisasikan matlamat membina rumah mampu milik yang mampu dimiliki golongan berpendapatan rendah.

Selain itu, langkah lain yang boleh dibuat bagi meringankan beban kos hidup adalah mewujudkan kedai runcit setempat yang menawarkan harga berpatutan dan mengurangkan pergantungan kepada produk import yang harganya lebih mahal.

Negara harus ditadbir urus secara lebih profesional dan matang dengan menunjukkan sikap profesionalisme sesuai konsep Malaysia Madani dan menyeimbangkan pembangunan antara wilayah.

Jurang antara negeri perlu dirapatkan dengan memastikan belanjawan tahunan Persekutuan mengutamakan lima negeri kurang membangun iaitu Sabah, Sarawak, Kelantan, Terengganu dan Perlis.

Selain itu, kerajaan perlu meningkatkan pelaburan berkualiti tinggi. Dengan pengukuhan KDNK Malaysia pada 2022, kerajaan sepatutnya mengambil peluang itu untuk menarik lebih banyak pelabur dari dalam dan luar negara.

Akhir sekali, kerajaan perlu mengkaji untuk merombak struktur gaji memandangkan peningkatan pendapatan berlaku dengan sangat perlahan. Ia cukup berbeza dengan kenaikan harga barangan yang sangat laju. – UTUSAN

ASYRAF SALLEH, Felow The Research

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN