Henti bertelagah politik ketika banjir - Utusan Malaysia

Henti bertelagah politik ketika banjir

SIKAP segelintir masyarakat yang membuang sampah di dalam sungai turut menyumbang kepada banjir. – GAMBAR HIASAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

BANJIR yang melanda negara ini ialah bencana berbahaya kerana memberikan kesan sosial dan ekonomi sehingga menyebabkan kerajaan perlu mengeluarkan peruntukan besar untuk membaik pulih kerosakan yang berlaku.

Baru-baru ini, Johor antara negeri yang mengalami situasi banjir agak kritikal apabila bilangan mangsa melonjak menghampiri 40,000 orang.

Adakah kita masih gagal belajar dari pelbagai bencana yang melanda negara ini sejak sekian lama? Sikap sudah terhantuk baru tengadah masih tebal sebati dalam usaha mengekang bencana yang semakin meningkat dari segi kuantiti dan keseriusannya.

Banjir berlaku disebabkan faktor-faktor persekitaran semula jadi seperti iklim dan cuaca. Punca berlakunya banjir ini juga dipengaruhi oleh tindakan manusia terhadap alam seperti mengubah struktur permukaan tanah, sistem saliran tidak cekap dan peningkatan kawasan tepu bina.

Kepesatan pembangunan antara 0-40% akan menyebabkan kadar aliran air bertambah sebanyak 190% dengan kelajuan larian air permukaan bertambah menjadi dua kali ganda.

Pembinaan kawasan petempatan sahaja boleh menyebabkan hanya 20% tanah mampu menyerap air manakala 80% lagi tidak telap air. Hal ini kerana, tanah telah diliputi dengan bahan yang tidak telap air seperti yang digunakan untuk pembinaan bangunan dan jalan raya.

Jika dahulu anak-anak sungai dan lembah dijadikan kawasan aliran air, kini kawasan tersebut telah ditimbus dengan tanah atas nama pembangunan. Justeru, apabila hujan turun, air akan mengalir dari kawasan bukit ke kawasan rendah dan kemudiannya bertakung.

Lama-kelamaan air akan bertambah dan banjir boleh berlaku. Bencana tersebut menjadi lebih teruk apabila hujan turun berterusan dan dalam kuantiti banyak.

Pencerobohan pembangunan ke kawasan sensitif alam sekitar seperti paya gambut dan paya bakau misalnya telah menjadikan kawasan itu tidak lagi mampan sebagai habitat semula jadi menampan banjir kerana telah tepu dengan pembinaan, menyebabkan banjir mudah melanda.

Penyelenggaraan parit dan longkang yang lemah turut menambah lagi masalah terutama apabila ia tersumbat kerana longgokan sampah serta mendapan yang tidak diselenggara dengan baik.

Sikap segelintir masyarakat yang membuang sampah di dalam longkang, parit dan sungai serta sisa bahan binaan dan industri sehingga menyekat laluan air turut menyumbang kepada episod banjir.

Banjir yang semakin memburuk menuntut usaha menyeluruh dari semua pemegang taruh untuk pengurusan yang berkesan. Ahli politik perlu menghentikan sementara perselisihan termasuk mempersoalkan isu tebatan banjir dan tumpukan usaha sepenuhnya bagi menangani bencana ini.

Buat masa ini, kesengsaraan dan kesusahan rakyat terbanyak khususnya mangsa banjir perlu diutamakan. Tuntasnya, kerjasama semua pihak adalah dituntut.

Berkaitan pengurusan bencana ini, akses kepada maklumat berkaitan jangkaan bencana, sistem amaran awal, komunikasi risiko dan kecemasan perlu dipertingkatkan supaya orang awam sentiasa dimaklumkan mengenai keadaan terkini. – UTUSAN

PROFESOR MADYA DR. HALIZA ABDUL RAHMAN, Universiti Putra Malaysia (UPM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya