Hati-hati silap mata sistem meritokrasi - Utusan Malaysia

Hati-hati silap mata sistem meritokrasi

MERITOKRASI sering dijadikan hujah di luar negara untuk menyeimbangkan penempatan penduduk agar tiada mana-mana kaum menjadi majoriti. – GAMBAR HIASAN/MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

DALAM agenda politik pelbagai kaum ini ada beberapa instrumen penting yang akan menggerakkannya termasuk dasar meritokrasi.

Dasar ini pada asasnya baik iaitu untuk memastikan mereka yang terbaik diberi peluang sama rata. Sistem meritokrasi ini menjadi hujah pendukung agenda politik pelbagai kaum bagaimana sebuah negara jiran membangun dan menjadi lebih maju dari Malaysia.

Ini menjadi suatu kebanggaan bagi mereka. Dalam aspek integriti, negara itu juga dijadikan contoh bagaimana indeks persepsi rasuahnya yang lebih baik berbanding Malaysia.

Namun, mungkin ramai tak sedar atau tidak peduli bahawa sistem politik negara itu tidak demokratik, malah lebih buruk dari Malaysia. Bukan sahaja senjata saman digunakan untuk melenyapkan suara pembangkang, malah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) juga kekal wujud.

Kerana itu, kerajaan negara terbabit tidak pernah bertukar sejak keluar dari Malaysia, malah identiti republik itu diadun semula dengan cukup halus menjadi negara baharu ‘pelbagai kaum’ dan Melayu menjadi simbol mewakili sejarah lampau.

Semua ini berjaya dilaksanakan kerana adanya sistem ‘pelincir’ yang dinamakan meritokrasi. Sistem meritokrasi dijadikan hujah untuk menyeimbangkan penempatan penduduk agar tidak ada kawasan majoriti satu kaum. Kerja-kerja penyusunan komuniti ini dilakukan oleh agensi kerajaan.

Dengan cara halus ini, maka suara dan kerusi Parlimen tidak lagi didominasi oleh satu kaum. Dengan strategi ini, maka mudah untuk dikawal dan dipantau oleh parti yang menjadi kerajaan.

Inilah inti pati idea penyusunan komuniti agar dapat mengurangkan atau menghilangkan kawasan majoriti sesuatu kaum, dalam konteks Malaysia – Melayu.

Apabila tiada lagi kawasan majoriti, maka hilanglah kerusi Parlimen majoriti Melayu. Maka perlahan-lahan identiti baharu Malaysia boleh diubah dengan cara yang sistematik.

Sistem meritokrasi yang baik ini telah menjadi instrumen dan senjata untuk tujuan kuasa politik. Inilah silap matanya. – UTUSAN

MAHDZIR IBRAHIM, Timbalan Ketua Penerangan Gerakan Tanah Air (GTA)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.