Dasar bagus tapi lemah dilaksana - Utusan Malaysia

Dasar bagus tapi lemah dilaksana

AKTA Racun 1952 perlu dipinda untuk membenarkan pihak bukan perubatan menjual nikotin yang kini disenaraikan sebagai racun kumpulan C. – GAMBAR HIASAN/MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

PENGUMUMAN Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam pembentangan Belanjawan 2023 pada 24 Februari lalu menyokong inisiatif generasi penamat (GEG) adalah satu perkembangan amat positif.

GEG dilaksanakan menerusi Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 yang tidak sempat untuk bacaan kali ketiga dan diluluskan pertengahan Oktober lalu susulan pembubaran Parlimen.

Ia menunjukkan kerajaan perpaduan tetap melihat kesihatan rakyat sebagai satu keutamaan. Keputusan ini merupakan satu kesinambungan daripada inisiatif GEG yang kali pertama dimulakan oleh bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin.

Ia bertujuan mengharamkan jualan rokok dan produk rokok elektronik (vape) kepada mereka yang dilahirkan selepas 2007. Namun, saya menjangkakan ada beberapa masalah dalam pelaksanaan polisi ini.

Negara kita terkenal dengan pengenalan dasar yang baik tetapi gagal dari segi pelaksanaannya. Dalam Belanjawan 2023, kerajaan mencadangkan cecair mengandungi nikotin akan dikenakan cukai. Ini bermakna produk vape ini akan mula dikawal selia.

Untuk melaksanakannya, undang-undang seperti Akta Racun 1952 perlu dipinda untuk membenarkan pihak bukan perubatan menjual nikotin yang kini disenaraikan sebagai racun kumpulan C.

Ia kini hanya boleh dijual oleh ahli farmasi dan doktor berdaftar. Akta Makanan 1983 juga perlu diteliti kerana hanya meliputi rokok konvensional dan produk tembakau.

Meminda undang-undang serta peraturan berkaitan memerlukan masa dan kerajaan tidak patut tergesa-gesa dalam hal ini. Kerajaan perlu memastikan undang-undang dan cara pengawalseliaan GEG ini dilaksanakan secara sistematik.

Satu lagi aspek perlu dipertimbangkan oleh kerajaan adalah membenarkan penggunaan vape dan produk tembakau yang dipanaskan sebagai satu pendekatan pengurangan kemudaratan.

Walaupun kita semua tahu rokok adalah berbahaya dan mengandungi karsinogen (agen penyebab kanser), meninggalkan tabiat merokok terutama dalam kalangan perokok tegar bukanlah sesuatu yang mudah.

Kerajaan perlu mempertimbangkan cara-cara alternatif dalam mengurangkan penggunaan tembakau dan meningkatkan kesedaran tentang kesihatan berkaitan merokok melalui pendidikan dan kempen kesedaran awam.

Dalam jangka masa panjang, pendekatan pengurangan mudarat mungkin lebih berkesan daripada melarang secara langsung perbuatan merokok. Negara-negara maju seperti Amerika Syarikat dan United Kingdom telah beralih kepada kaedah pengurangan mudarat sebagai penyelesaian masalah kesihatan awam ini.

Kajian dari pakar-pakar antarabangsa secara konsisten menunjukkan vape adalah kurang berbahaya berbanding rokok konvensional. Produk tembakau dipanaskan juga terbukti kurang mendatangkan mudarat daripada rokok kerana ia tidak menghasilkan tar dan racun berbahaya.

Oleh itu, ia boleh dianggap sebagai satu bentuk pengurangan bahaya yang lebih selamat dan boleh membantu individu yang ingin mengurangkan penggunaan rokok.

Kesimpulannya, meskipun mengharamkan merokok dapat mengurangkan kesan negatif pada kesihatan masyarakat, kerajaan perlu mempertimbangkan implikasi dari segi sosial, perundangan, ekonomi dan kesihatan.

GEG adalah polisi yang baik tetapi kita tidak sepatutnya tergesa-gesa sehingga menyebabkan wujud kelemahan dari segi pelaksanaan. – UTUSAN

MOHD. RAMLI AKHTAR, Seberang Perai, Pulau Pinang

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya