Cadang duti setem tukar milik hartanah RM10

Cadang duti setem tukar milik hartanah RM10

PENTADBIRAN kerajaan terdahulu pernah mencadangkan supaya bayaran duti setem dikurangkan kepada RM10 bagi pemilik harta yang berhasrat memindah milik hartanah melalui kaedah hibah kasih sayang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

BELANJAWAN 2023 yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan tidak menyentuh mengenai hartanah terbeku antara RM70 hingga RM80 bilion di negara ini.

Seperti sedia maklum, pembekuan hartanah antaranya disebabkan proses menukar milik melalui kaedah atau tatacara yang agak sukar, memakan masa lama serta melibatkan kos tinggi. Kos meliputi bayaran duti setem yang dikenakan oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) mengikut kadar ditetapkan. Keadaan ini menyukarkan rakyat berpendapatan rendah dan mereka lebih rela membiarkan harta tersebut tanpa diuruskan untuk ditukar milik dan sebagainya.

Semasa era pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, beliau cuba menyelesaikan kes serupa ini dengan mencadangkan bayaran duti setem dikurangkan kepada RM10 untuk pemilik harta yang berhasrat memindah milik hartatanah antara ahli keluarga kepada waris-waris melalui kaedah hibah kasih sayang.

Sebelum ini, hanya surat cara pindah milik hartanah di antara suami kepada isteri diberikan pengecualian penuh, manakala ibu bapa kepada anak dikenakan pengecualian 50 peratus.

Menteri Kewangan ketika itu, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz telah membentangkannya dalam sesi Belanjawan 2023 pada Oktober tahun lalu. Malangnya ia tidak sempat diluluskan kerana Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) menyaksikan perubahan dalam pentadbiran negara.

Oleh itu, kami merayu kepada Anwar agar mempertimbangkan cadangan yang dibuat oleh pentadbiran kerajaan terdahulu supaya ia dapat dilaksanakan.

Dengan pelaksanaan ini, diharapkan ia mampu sedikit sebanyak mencairkan hartanah yang banyak terbeku dan pastinya apabila dilaksanakan dapat menyumbang kepada perkembangan ekonomi negara selain memberi keselesaan kepada pemilik-pemilik harta yang berhasrat menghibahkan harta mereka kepada waris-waris atau ahli keluarga melalui kaedah hibah kasih sayang.-UTUSAN

KBS
Johor

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya