Tambah lagi filem agensi penguat kuasa - Utusan Malaysia

Tambah lagi filem agensi penguat kuasa

FILEM Coast Guard Malaysia: Ops Helang memaparkan kehebatan Pasukan Tindakan Khas dan Penyelamat (STAR).
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

BERMULA 2 Februari lalu, ditayangkan filem aksi tempatan, Coast Guard Malaysia: Ops Helang yang dalam tempoh empat hari tayangan telah meraih kutipan RM2.5 juta. Pada masa sama, pelbagai kritikan diberikan sama ada positif atau negatif.

Filem tersebut telah menaikkan nama Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dan skuad elitnya, Pasukan Tindakan Khas dan Penyelamat (STAR).

Saya berpendapat, agensi penguat kuasa lain perlu mempelawa penerbit filem dan syarikat produksi untuk melakukan perkara sama seperti dilakukan oleh Arie Zaharie Production yang menerbitkan filem terbaharu mengenai Maritim Malaysia itu.

Sebenarnya, masih ramai lagi rakyat yang tidak tahu tentang peranan agensi penguat kuasa lain seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) sehingga menyebabkan mereka mengeluarkan kritikan tidak berasas.

Peranan PDRM telah diketahui kerana didedahkan dalam drama bersiri Gerak Khas terbitan Skop Productions. Drama terbabit boleh bertahan selama 21 tahun sejak 1999 berikutan wujud kerjasama erat daripada PDRM.

Walaupun drama itu berlatarkan skuad fiksyen tetapi ia sedikit sebanyak mendedahkan peranan PDRM dan unit-unit lain di bawahnya sehingga menarik minat anak-anak muda untuk menyertai pasukan polis.

Bagi saya, perlu ada filem yang mendedahkan peranan agensi-agensi penguat kuasa lain seperti Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Jabatan Imigresen dan Jabatan Penjara. Ini kerana masyarakat masih tidak memahami peranan agensi-agensi terbabit serta corak kerja mereka.

Semoga ada agensi penguat kuasa dan penerbit filem yang berani untuk meneroka kerjasama bagi menghasilkan filem-filem lain yang lebih hebat dan berkualiti. – UTUSAN

KANIM FAKAR, Kuala Lumpur

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya