Penyertaan tenaga buruh wanita kita masih rendah

Penyertaan tenaga buruh wanita kita masih rendah

PENGLIBATAN wanita dalam tenaga kerja buruh di Malaysia berbanding negara-negara ASEAN lain masih agak rendah dan dalam masa sama perlu diberi perhatian.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

PENGLIBATAN wanita dalam tenaga kerja profesional di Malaysia tidak dapat dinafikan lagi. Mereka menjawat pelbagai jawatan penting dalam sektor-sektor utama seperti gabenor bank pusat dan badan kehakiman negara. Tidak kurang juga hebatnya mereka yang memasuki badan pembuat keputusan seperti Dewan Rakyat, Dewan Negara dan menjadi menteri dan timbalan menteri.

Namun, di sebalik semua kegemilangan ini, penglibatan wanita dalam tenaga kerja buruh di Malaysia berbanding negara-negara ASEAN lain masih agak rendah dan dalam masa sama perlu diberi perhatian.

Menurut laporan Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) pada 2022 yang membandingkan kadar penyertaan tenaga buruh wanita dalam kalangan 10 negara ASEAN (bagi mereka yang berumur 15 hingga 64 tahun), Malaysia berada di kedudukan ke lapan, iaitu ketiga terendah. Laos, Kemboja, dan Vietnam yang agak sedikit terkebelakang dari segi pembangunan dan pendidikan mempunyai penyertaan tenaga kerja wanita lebih tinggi berbanding Malaysia, iaitu pada 74.8, 74 dan 69.6 peratus. Singapura dan Thailand pula hampir sama, iaitu masing-masing 59.4 dan 59 peratus.

Berdasarkan sumber Parlimen, penglibatan wanita dalam badan pembuat keputusan seperti Dewan Negara, Dewan Rakyat, menjawat jawatan sebagai menteri dan timbalan menteri sememangnya agak rendah dengan hanya sekitar 20 peratus di badan-badan pembuat keputusan ini dari 2019 sehingga 2022.

Wanita bukan sahaja bertanggungjawab dalam menguruskan keluarga tetapi masa kini perlu bekerja untuk kelangsungan hidup dan menghadapi keadaan ekonomi yang mencabar. Dengan kenaikan kos sara hidup di era endemik, wanita perlu menjana pendapatan tanpa bergantung sepenuhnya kepada pasangan atau ibu bapa.

Namun begitu, wanita perlu bijak dalam mengurus masa dan tenaga untuk memikul tanggungjawab antara kerjaya dan keluarga secara optimum. Majikan, keluarga dan pasangan perlu memberi sokongan kerjasama dan motivasi kepada wanita dalam mengimbangi antara tanggungjawab keluarga dan kerjaya. Misalnya, penyediaan pusat penjagaan kanak-kanak dan masa fleksibel oleh majikan. Keluarga atau pasangan pula perlu bersama dalam membantu melakukan kerja-kerja rumah.

Kerjasama dan sokongan ini adalah penting bagi memastikan golongan wanita dapat membina kerjaya dan dapat terus memberi sumbangan kepada pembangunan ekonomi negara.-UTUSAN

DR. ELYA NABILA ABDUL BAHRI
Fakulti Perniagaan & Ekonomi Universiti Malaya

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya