Nurul Izzah cukup layak bantu basmi kemiskinan tegar - Utusan Malaysia

Nurul Izzah cukup layak bantu basmi kemiskinan tegar

NURUL Izzah Anwar yang pertama bercakap soal indeks kemiskinan multidimensi selain turut terlibat menganggotai Jawatankuasa Panel Kira-Kira Wang Negara (PAC). – INSTAGRAM NURUL IZZAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

RESPONS ringkas saya terhadap isu kronisme melibatkan pelantikan Nurul Izzah Anwar sebagai Penasihat Kanan Ekonomi dan Kewangan kepada Perdana Menteri ialah ia sengaja disensasikan sedangkan tiada masalah bahkan sah dari segi perundangan.

Bagaimanapun, Nurul Izzah selepas itu menerima tawaran berkhidmat di bawah Sekretariat Jawatankuasa Penasihat Menteri Kewangan sekali gus menamatkan peranannya sebagai penasihat kepada Perdana Menteri.

Pelantikan asal itu kecoh seolah-olah dunia mahu kiamat. Mengapa tidak melihat bekas Perdana Menteri terdahulu yang melantik beberapa penasihat dengan imbuhan gaji lumayan tetapi acah-acah makan mi segera untuk dipertontonkan kepada khalayak?

Tujuan Datuk Seri Anwar Ibrahim memasukkan Nurul Izzah ke dalam pentadbiran adalah bagi membolehkan beliau membantu kerajaan merangka dasar untuk membasmi kemiskinan tegar secara bersasar.

Oleh itu, tidak timbul sama sekali isu kronisme dan nepotisme. Lagipun, tugas itu tidak membolehkannya menandatangani sebarang dokumen kementerian.

Ini berbeza dengan penasihat kementerian secara lantikan Kontrak Untuk Perkhidmatan yang tarafnya sama dengan penjawat awam Gred Turus yang memiliki kelebihan dan keistimewaan.

Jadi sudah-sudahlah, jangan cuba lagi diperbesarkan isu pelantikan Nurul Izzah. Tambahan pula, beliau sekarang bukan lagi sebagai penasihat kepada Perdana Menteri.

Bagi saya, Nurul Izzah bukan sahaja layak malah mempunyai pengetahuan serta berpengalaman luas sepanjang menjadi wakil rakyat selama 14 tahun dan merupakan orang pertama yang bercakap soal indeks kemiskinan multidimensi selain turut terlibat menganggotai Jawatankuasa Panel Kira-Kira Wang Negara (PAC). – UTUSAN

MUZAKKIR HARON, Pulau Pinang

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.