Adakah Bersatu terima duit Pak Arab? - Utusan Malaysia

Adakah Bersatu terima duit Pak Arab?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

BARU-BARU ini, Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan, parti itu tidak menerima sebarang wang daripada dana pakej rangsangan ekonomi yang dibelanjakan kerajaan pada 2020 dan 2021 bernilai RM92.5 bilion seperti didakwa sesetengah pihak.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, dasar ditetap oleh Bersatu bahawa setiap sumbangan kepada parti mesti dimasukkan ke dalam akaun Bersatu dan bukannya akaun peribadi atau yayasan.

Beliau turut menegaskan, perkara itu telah disemak oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan pihaknya percaya siasatan kepada penyata akaun Bersatu akan mendapati tiada wang berbilion ringgit masuk.

Tambahnya, audit akaun-akaun itu semuanya teratur mengikut kehendak Pendaftar Pertubuhan (RoS). Susulan itu, katanya, Bersatu juga akan menghantar surat kepada SPRM supaya perintah pembekuan akaun parti dapat dibatalkan.

Mengulas kenyataan itu, sukalah saya menyentuh langkah Bersatu baru-baru ini yang memuatkan di laman sesawang parti tersebut, iaitu laporan akaun tahunan yang telah diaudit bagi 2020 dan 2021. Saya rasa ada banyak yang tidak kena dengan pendedahan tersebut.

Di muka surat 17 laporan berkenaan, dilaporkan pada 2020, Bersatu menerima RM108,164,679 sebagai ‘penajaan dan derma’. Pada 2021, angka itu naik menjadi RM147,647,329. Untuk kedua-dua tahun, sebanyak RM255 juta diterima hasil sumbangan ‘penyokong’ parti tersebut.

Seperti kita sedia maklum, 2020 dan 2021 adalah ketika pandemik Covid-19 berada di kemuncaknya dan Perdana Menteri pada ketika itu, tidak lain tidak bukan ialah Presiden Bersatu.

Pada ketika itu, ramai rakyat Malaysia hidup sengsara. Bukan sahaja ramai yang meninggal dunia kerana dijangkiti Covid-19, kesan negatif ke atas ekonomi negara juga amat besar.

Persoalannya, bagaimana Bersatu dapat menerima tajaan dan derma sebegitu besar? Adakah wang tersebut datang daripada Pak Arab, seperti cerita yang popular di persada politik negara suatu ketika dahulu?

Siapakah penderma dan penaja tersebut? Jika mereka benar-benar ikhlas, bukankah lebih elok jika mereka menderma terus kepada rakyat yang hilang pekerjaan atau memerlukan bantuan kewangan pada ketika itu?

Atau adakah mereka ini mengharapkan ‘balasan’ daripada Bersatu kelak? Apakah mereka pernah mendapatkan ‘habuan’ daripada kerajaan pimpinan Bersatu sebelum ini? Bak pepatah bahasa Inggeris, there is no such thing as a free lunch (tidak ada makan tengah hari percuma).

Wang masuk ke akaun rasmi Bersatu dalam jumlah yang begitu besar ketika keadaan ekonomi getir amat mencurigakan. Sebelum ini, Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mendedahkan terdapat kepincangan dalam perbelanjaan kerajaan berjumlah RM92.5 bilion pada 2020 dan 2021.

Walaupun setakat ini tiada bukti kukuh mengaitkan ‘derma’ tersebut kepada ketirisan dalam proses perolehan kerajaan, banyak persoalan masih belum terjawab.

Bagi saya, Bersatu telah kalah di medan persepsi umum dalam isu ini. Lebih-lebih lagi pemimpin Bersatu ‘gelabah’ bila SPRM memulakan siasatan ke atas parti tersebut.

Jangan cuba menenggelamkan kebenaran dan sembunyikan aib. Padahal Bersatu sendiri yang memilih untuk membuka pekung di dada. – UTUSAN

SYED MANSOR SYED OMAR, Lenggong, Perak

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya