Pelarian bebas bergerak asalkan tidak mudarat - Utusan Malaysia

Pelarian bebas bergerak asalkan tidak mudarat

PELARIAN mempunyai hak untuk mendapatkan pendidikan kerana ia adalah hak asasi manusia.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

SURUHANJAYA Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) mendefinisikan pelarian sebagai seseorang yang terpaksa meninggalkan negara mereka kerana mempunyai ketakutan sah bahawa dirinya dianiaya disebabkan etnik, agama dan kewarganegaraan.

Sebab utama pelarian meninggalkan negara mereka adalah konflik dan keganasan dalam komuniti etnik, suku dan agama. Bagi sesebuah negara yang didatangi pelarian, mungkin ada kegusaran dan ketidakselesaan dalam kalangan rakyat.

Kerajaan kita pada asasnya tidak memberi pengiktirafan undang-undang kepada pelarian kerana Malaysia adalah antara negara yang tidak menandatangani Konvensyen Mengenai Status Pelarian 1951 serta Protokol 1967.

Bagaimanapun, kerajaan mengambil langkah untuk melindungi sejumlah besar pelarian atas dasar kemanusiaan dengan kerjasama pejabat UNHCR Malaysia bagi mendaftarkan mereka yang memerlukan perlindungan antarabangsa dengan memberikan kad khusus.

Sehingga September tahun lalu, UNHCR melaporkan terdapat kira-kira 183,430 pelarian dan pencari suaka yang berdaftar dengan pihak mereka di negara ini. Majoriti dari Myanmar yang terdiri daripada 105,870 etnik Rohingya, 23,190 (Chin) dan 28,840 (etnik lain).

Selain Myanmar, terdapat kira-kira 25,510 pelarian dan pencari suaka dari 50 negara yang melarikan diri daripada peperangan dan penganiayaan termasuk Pakistan, Yemen, Syria, Somalia, Afghanistan, Iraq dan Palestin.

Menurut UNHCR, setiap negara mempunyai tanggungjawab untuk menguruskan pelarian. Secara langsung, undang-undang antarabangsa menyatakan setiap negara tidak kira sama ada mereka menjadi anggota atau tidak dalam Konvensyen Mengenai Status Pelarian 1951 dan Protokol 1967 mempunyai tanggungjawab untuk tidak memaksa pelarian kembali ke situasi yang akan mengancam nyawa atau kebebasan mereka.

Dalam Artikel 2 Perjanjian Antarabangsa mengenai Hak Sivil dan Politik (ICCPR), dinyatakan bahawa pelarian mempunyai hak asasi dan kebebasan yang sama seperti seorang warganegara.

Perkara 2 Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat (UDHR) menyatakan pelarian perlu mempunyai hak dan kebebasan dalam undang-undang hak asasi manusia.

Undang-undang yang dimaksudkan termasuk yang melarang diskriminasi terhadap pelarian atas alasan seperti bangsa, warna kulit, jantina, bahasa, agama atau asal sosial, harta, kelahiran dan status lain.

Tambahan pula, pelarian juga mempunyai hak untuk mendapatkan pendidikan kerana ia adalah hak asasi manusia dan asas untuk membina keamanan dan memacu pembangunan mampan.

Menurut Konvensyen Mengenai Status Pelarian 1951, pelarian juga mendapat hak seperti kebebasan beragama dan bergerak yang berhubung dengan hak bagi memilih tempat tinggal mereka serta hak untuk bergerak bebas di dalam wilayah negara.

Cabaran mencapai keseimbangan hak dan kebebasan antara pelarian dan warganegara adalah amat sukar diatasi. Hal ini disebabkan hanya hak dan kebebasan rakyat di bawah naungan Perlembagaan Persekutuan.

Tuntasnya, sememangnya terdapat pelbagai had dan kekangan dalam melindungi dan menjaga hak serta kebebasan pelarian. Menurut prinsip kemudaratan yang dinyatakan oleh ahli falsafah Inggeris, John Stuart Mill, seseorang boleh bertindak bebas selagi tidak memudaratkan pihak lain.

Kerajaan boleh berpandukan prinsip ini untuk mencapai keseimbangan antara hak dan kebebasan pelarian dengan hak dan kebebasan warganegara Malaysia. – UTUSAN

S. SUBASH RAJAH & RACHEL DECRUZ, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya