Jangan halang misi kemanusiaan ke Ukraine - Utusan Malaysia

Jangan halang misi kemanusiaan ke Ukraine

RAKYAT Malaysia kurang mengambil berat tentang peperangan yang sedang berlaku di Ukraine. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

SEPERTI semua sedia maklum, perang Ukraine-Russia sudah berlarutan lebih sembilan bulan dan sehingga kini masih belum ditemui jalan penyelesaian.

Reaksi dari negara-negara Asia Tenggara seperti Malaysia, Indonesia, Singapura dan negara-negara Asia lain agak dingin kerana difahamkan mereka enggan menentang pencabulan berdarah kedaulatan Ukraine oleh Russia atas sebab kepentingan masing-masing.

Dalam erti kata lain, negara-negara terbabit ingin ‘menjaga periuk nasi daripada ditabur pasir’ kerana Russia antara pelabur kepada ekonomi yang mempunyai hubungan baik dengannya.

Kerajaan kita dilihat hanya bersuara lantang tentang konflik negara-negara Islam sama ada berskala besar atau kecil seperti Palestin, Syria, Afghanistan, Rohingya, Bosnia Herzegovina (1992-1995) dan Kosovo (1998- 1999).

Rakyat kita juga kurang mengambil berat tentang peperangan di Ukraine. Malah ramai seolah-olah menyokong Russia dalam tindakannya manakala yang bersimpati dengan penduduk Ukraine terus dikecam sama ada secara lisan atau dalam media sosial.

Saya berpendapat, jika kerajaan enggan bersolidariti dengan penduduk Ukraine dan rakyatnya, apa salahnya diberikan peluang kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan rakyat negara ini untuk membantu tanpa sebarang halangan atau gangguan dari segi undang-undang?

Dari segi sejarah pula, mungkin rakyat Malaysia sekarang lupa kerajaan pernah mengutuk tindakan Russia menyerang Republik Chechnya dari 1994 hingga 2000 dan pencerobohan lima hari di Republik Georgia pada 2008.

Kepada orang Melayu beragama Islam yang diberi akal bagi menilai sesuatu, fikirlah secara rasional, adakah betul tindakan kita tidak membantu rakyat Ukraine? – UTUSAN

KANIM FAKAR, Kuala Lumpur

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN