Biar Pan Gon pilih sendiri pemain Harimau Malaya - Utusan Malaysia

Biar Pan Gon pilih sendiri pemain Harimau Malaya

KIM PAN GON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

TAHNIAH kepada Ketua Jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan Gon kerana berjaya membawa skuad itu sehingga ke peringkat separuh akhir Piala AFF 2022, baru-baru ini.

Biarpun menghadapi isu kurang pemain dan perlu melatih pemain baharu, kejayaan mara sehingga ke peringkat separuh akhir telah menonjolkan kredibiliti beliau dalam memantapkan pasukan dibimbingnya.

Bagi membentuk pasukan lebih mantap, Pan Gon harus diberi ruang untuk menilai dan memperoleh pemain yang menjadi pilihannya. Penilaian terbabit adalah dari segi kebolehan skil yang optimum, ketahanan mental dan mampu menghadapi tekanan psikologi daripada pemain pasukan lawan.

Ini adalah antara aspek terpenting yang tidak boleh diabaikan lagi pada tahap permainan berintensiti cukup tinggi kelak. Sikap dan mentaliti individu setiap pemain dalam pasukan perlu matang dan mempunyai semangat setia kawan untuk bergerak secara bersama serta serentak.

Setiap gerakan awal dan gerakan berterusan pihak lawan perlu disekat dan pemain-pemain juga berperanan besar untuk sama-sama bertahan dan seterusnya merencana secara tersusun untuk mendapatkan jaringan pula.

Paling terpenting, setiap pemain perlu sekali memahami konsep mengawal permainan yang adakala perlu bertahan atau menyerang atau kedua-duanya sekali.

Kadangkala perlu bertahan daripada serangan bertubi-tubi lawan dengan tujuan meneutralisasikan kemaraan bahaya musuh. Ini adalah tonik tambahan yang perlu ada pada setiap pemain profesional.

Hanya melalui kaedah itu, Pan Gon dapat meletakkan Harimau Malaya sebaris dengan pasukan-pasukan Thailand, Vietnam, Jepun, Korea Selatan dan Asia Barat lain yang memang telah lama tersohor dan amat maju dari segi prasarana dan pelbagai aspek lain.

Pelengkap bagi mencapai matlamat tersebut adalah dengan meningkatkan lagi keupayaan pemain yang tersedia cukup berkualiti dengan sokongan perlawanan persahabatan berkualiti tinggi. – UTUSAN

ZAMARI AMBIA, Johor Bahru, Johor

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya