Banyakkan amalan dalam bulan Rejab - Utusan Malaysia

Banyakkan amalan dalam bulan Rejab

AMALAN soleh yang boleh diperbanyakkan pada bulan Rejab ialah membaca al-Quran. – UTUSAN/ PUQTRA HAIRRY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

REJAB ialah salah satu bulan yang istimewa dalam Islam sebagaimana dinyatakan di dalam al-Quran, iaitu bulan-bulan haram.

Ini bermaksud pada bulan ini diharamkan berperang dan juga disebut bulan yang suci kerana Allah SWT mengharamkan melakukan kezaliman.

Kezaliman merujuk kepada perbuatan menganiaya, menindas dan perbuatan lain yang bersifat tidak berperikemanusiaan kepada pihak lain.

Setiap kezaliman yang dilakukan dalam bulan ini dosanya adalah lebih besar berbanding bulan-bulan lain. Begitulah juga sebaliknya, amal soleh yang dilakukan adalah lebih besar pahalanya berbanding beramal dalam bulan-bulan lain.

Keistimewaan bulan ini dinyatakan oleh Allah SWT di dalam al-Quran dan dijelaskan dengan lebih terperinci melalui hadis Nabi SAW. Bulan-bulan haram ini terdiri daripada empat bulan dalam Islam iaitu Zulkaedah, Zulhijah, Muharam dan Rejab.

Perkataan rejab dari sudut bahasa bermaksud membesarkan atau mengagungkan. Selain itu, ia dinamakan bulan Rejab kerana orang Arab mengagungkan bulan ini ketika zaman jahiliah (sebelum kedatangan Islam) dengan meninggalkan peperangan, pembunuhan dan pertumpahan darah.

Perlu ditegaskan kepada masyarakat Islam bahawa bulan ini tidak mempunyai kelebihan khusus daripada hadis-hadis yang sahih berkaitan amalan ibadah tertentu.

Namun, ini tidak menghalang masyarakat Islam daripada terus melaksanakan amalan-amalan ibadah seperti biasa yang selalu diamalkan dalam bulan-bulan lain dengan syarat tidak meyakini bahawa amalan ini mempunyai kelebihan khusus atau tertentu.

Amalan soleh yang boleh dibiasakan dan diperbanyakkan pada bulan ini ialah berpuasa sunat, solat sunat, bersedekah, membaca al-Quran, berzikir dan pelbagai lagi amalan baik. – UTUSAN

DR. AZRI BHARI, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam, Selangor

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya