SAUDARA PENGARANG,
RAMAI orang dewasa menyangka vaksinasi atau imunisasi hanya untuk kanak-kanak. Selain menerima vaksin Covid-19, mungkin kali terakhir kebanyakan orang dewasa mendapat vaksinasi adalah semasa zaman sekolah dahulu.
Keupayaan untuk melindungi diri daripada penyakit berjangkit melalui suntikan vaksin adalah keajaiban perubatan yang sering dipandang remeh oleh orang dewasa.
Malah, berdasarkan pengalaman suntikan vaksin Covid-19, kita menyaksikan ia berkesan untuk melindungi kita daripada mengalami gejala yang teruk, kemasukan ke hospital dan kematian.
Kebanyakan orang dewasa telah divaksin dan menerima dos penggalak hingga jika dijangkiti Covid-19, gejala dialami biasanya ringan.
Oleh itu, dalam menyambut kedatangan musim cuti sekolah dengan pelbagai aktiviti santai, kita perlu ingat bahawa ancaman influenza (demam selesema teruk) masih ada.
Kita perlu yakin dengan kemampuan vaksinasi influenza untuk mencegah penyakit ini daripada menjejaskan anak-anak, saudara-mara dengan komorbiditi (menghidap dua atau lebih penyakit seperti diabetes, penyakit jantung dan sebagainya) dan orang tua.
Di Malaysia, ramai orang dewasa jatuh sakit akibat influenza yang sebenarnya boleh dicegah melalui vaksinasi disarankan setiap tahun.
Bagaimanapun, hanya sebilangan kecil memilih mendapatkan suntikan tahunan dengan anggaran kadar vaksinasi sekitar tiga peratus sahaja. Persepsi biasa yang mengatakan influenza sebagai penyakit ringan adalah tidak tepat.
Pakar di seluruh dunia mengesyorkan pengambilan vaksin influenza tahunan sebagai kaedah paling berkesan untuk mencegah penyakit itu dengan keutamaan kepada warga emas. – UTUSAN
PROFESOR ZAMBERI SEKAWI, Pengerusi Kumpulan Kerja Influenza Malaysia