Perkenal kadar gaji minimum baharu - Utusan Malaysia

Perkenal kadar gaji minimum baharu

PENINGKATAN gaji minimum di Malaysia daripada RM1,200 pada 2020 kepada RM1,500 sekarang masih tidak mencukupi kerana tekanan inflasi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

LAPORAN Gaji Global 2022-2023 yang diterbitkan oleh Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) pada 30 November lalu mendapati masalah inflasi telah menjejaskan kuasa beli golongan pekerja yang menerima gaji minimum.

Krisis inflasi teruk yang digabungkan dengan kelembapan dalam pertumbuhan ekonomi dunia yang disebabkan sebahagiannya oleh perang di Ukraine dan krisis tenaga di peringkat global telah menyebabkan penurunan nilai gaji sebenar pekerja di banyak negara.

Krisis ini telah mengurangkan kuasa beli golongan kelas menengah dan menjejaskan isi rumah berpendapatan rendah dengan teruknya. Laporan ILO menganggarkan pertumbuhan gaji bulanan sebenar di peringkat global telah menurun kepada -0.9 peratus pada separuh pertama 2022.

Peningkatan kos sara hidup akibat inflasi menjejaskan kehidupan pekerja bergaji rendah dan keluarga mereka yang membelanjakan sebahagian besar pendapatan boleh guna dalam pembelian barangan dan perkhidmatan penting yang mengalami peningkatan harga lebih besar berbanding barangan tidak penting.

Walaupun pelarasan gaji secara nominal (sangat sedikit) telah dibuat termasuk di Malaysia dengan kadar gaji minimum terbaharu sebanyak RM1,500 berbanding gaji minimum RM1,200 pada 2020 tetapi inflasi yang mengakibatkan kenaikan harga barangan yang hebat sedang menghakis nilai sebenar gaji minimum baharu dengan cepatnya di banyak negara.

Dalam erti kata lain, pelarasan gaji minimum itu tidak mencukupi untuk pekerja berpendapatan rendah yang dibebani dengan kos sara hidup yang meningkat.Analisis ILO menunjukkan bahawa wujud keperluan mendesak untuk mengaplikasikan dasar-dasar yang direka bentuk dengan baik untuk membantu dalam mengekalkan kuasa beli dan taraf hidup pekerja serta keluarga mereka.

Pelarasan kadar gaji minimum yang mencukupi boleh menjadi alat berkesan, memandangkan 90 peratus daripada negara-negara anggota ILO mempunyai sistem gaji minimum. Dialog sosial tiga triparti dan rundingan bersama yang mantap juga boleh membantu dalam mencapai pelarasan gaji sesuai dan mencukupi ketika berlaku krisis.

Dasar-dasar yang boleh mengurangkan kesan krisis kos sara hidup ke atas isi rumah pekerja berpendapatan rendah termasuk langkah-langkah mensasarkan kumpulan tertentu wajar dilaksanakan. Ini seperti memberi baucar kepada isi rumah berpendapatan rendah untuk membeli barangan keperluan.

Melawan kemerosotan gaji sebenar boleh membantu dalam mengekalkan pertumbuhan ekonomi, yang seterusnya dapat membantu dalam memulihkan keadaan ke tahap pekerjaan yang wujud sebelum pandemik.

Ini boleh menjadi cara berkesan untuk mengurangkan kesan teruk kemelesetan ekonomi di semua negara dan rantau. Ia juga boleh mengelak tercetus kekacauan sosial akibat inflasi. – UTUSAN

PERTUBUHAN BURUH ANTARABANGSA (ILO)
Switzerland

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.