fbpx

Kos sara hidup rendah tarik ekspatriat

BAGI menangani kos sara hidup yang menekan kehidupan rakyat, kerajaan perlu mengharamkan kartel yang mengenakan harga tidak wajar. – GAMBAR HIASAN/RASUL AZLI SAMAD

SAUDARA PENGARANG,

TAHNIAH kita ucapkan kepada Perdana Menteri yang baharu kerana beliau terus menunjukkan sifat prihatinnya kepada rakyat.

Seperti yang dilaporkan oleh media massa pada 26 November lalu, Datuk Seri Anwar Ibrahim berjanji akan menangani kos sara hidup yang membebani rakyat ketika ini dengan mengambil tindakan drastik.

Dengan mengurangkan kos sara hidup ini, kerajaan dapat mencapai dua tujuan yang penting. Pertama, ia akan melegakan kehidupan rakyat berpendapatan rendah.

Walaupun isu kos sara hidup yang tinggi ini merupakan isu antarabangsa yang tidak dapat dielakkan, komitmen yang ditunjukkan kerajaan melegakan rakyat.

Kedua, dengan menangani kos sara hidup yang tinggi ini, kerajaan dapat terus menjamin Malaysia sebagai destinasi pelaburan antarabangsa yang kompetitif di rantau ini. Ia juga akan terus menarik ekspatriat untuk tinggal di Malaysia.

Sebagai destinasi pelaburan antarabangsa, Malaysia dipilih kerana kos sara hidup yang rendah secara relatif berbanding negara-negara lain.

Bagi menangani kos sara hidup yang mencengkam dan menekan kehidupan rakyat, dicadangkan beberapa langkah yang boleh diambil. Pertama, mengharamkan kartel yang mengenakan harga tidak wajar kepada pengguna.

Kedua, menyemak semula praktis perdagangan yang tidak telus dan tidak adil kepada pengguna-pengguna oleh semua pertubuhan perdagangan.

Ketiga, mengharamkan amalan yang menyekat pemberian potongan harga kepada pengguna-pengguna. Keempat, meningkatkan lagi hasil pengeluaran tempatan dan tahap persaingan di antara mereka.
Kelima, menaikkan harga-harga pengeluar yang rendah bagi sesetengah jenis pengeluaran tempatan.

Keenam, menyemak semula paras upah minimum yang telah ditentukan. Ketujuh, menghidupkan semula konsep Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M). Dan akhir sekali menerapkan lagi budaya berjimat cermat. – UTUSAN

NASARUDDIN ARSHAD
Bekas pensyarah ekonomi

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN