Kawal keganasan berasaskan gender dalam talian - Utusan Malaysia

Kawal keganasan berasaskan gender dalam talian

BERHATI-HATI menggunakan internet, media sosial atau e-mel bagi mengelak menjadi mangsa keganasan berasaskan jantina. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

KEGANASAN berasaskan gender (GBV) bermaksud sebarang tindakan memudaratkan yang dilakukan terhadap seseorang tanpa kerelaan mereka.

Keganasan ini berlaku berasaskan perbezaan jantina. Ia termasuk tindakan yang menyebabkan mudarat atau seksaan fizikal.

Selain itu, gangguan seksual, gangguan mental, pemaksaan dan penghalangan kebebasan yang lain juga antara kesan yang diterima oleh mangsa penderaan ini.

Tindakan ini boleh berlaku di tempat-tempat awam mahupun secara tersembunyi tanpa diketahui oleh sesiapa. Statistik Bank Dunia menunjukkan bahawa 35 peratus wanita di peringkat global mengalami keganasan seksual.

Selain itu, Laporan Pelapor Khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 2018 turut memberikan takrifan berkenaan keganasan berasaskan gender dalam talian (OGBV).

Ia ditakrifkan sebagai sebarang tindakan keganasan berasaskan jantina yang telah dilakukan dan mangsa berhadapan dengan kesulitan sama ada sebahagian atau sepenuhnya melalui penggunaan teknologi komunikasi dan maklumat (ICT) seperti telefon pintar, internet, media sosial atau e-mel hanya kerana individu itu seorang wanita.

Antara faktor yang menyebabkan wanita menjadi mangsa keganasan berasaskan gender dalam talian kerana sikap tidak bertanggungjawab lelaki yang bernafsu di samping wanita itu sendiri sering dianggap sebagai golongan yang lemah.

Keadilan individu termasuk wanita perlu dipertahankan seperti yang dikatakan oleh ahli falsafah, Robert Nozick iaitu setiap individu mempunyai hak semula jadi yang tidak boleh dicabul oleh individu atau kerajaan. Hak tersebut berupa hak kepada nyawa, kebebasan dan harta.

Sebenarnya, aktiviti dalam talian juga mendedahkan semua pihak termasuk wanita terhadap kegiatan penipuan. Utusan Malaysia pada 17 Jun lalu telah mendedahkan seorang nenek berdepan dengan kerugian lebih RM4 juta akibat terperdaya dengan sindiket Love Scam.

Jelaslah, golongan wanita yang ramai menjadi mangsa jenayah siber. Keadilan sosial tidak sepatutnya menyekat sifat-sifat semula jadi manusia yang membezakan antara jantina. Setiap jantina berhak dilayan sama rata.

Dalam pada itu, penipuan dalam talian lain merangkumi aktiviti berniat jahat yang dilakukan melalui media sosial, iklan timbul (pop-ads), telefon samaran daripada bank, kastam, polis dan pelbagai kaedah lain.

Penipuan percintaan biasanya berlaku di rangkaian temu janji sosial, seperti Facebook atau dengan menghantar e-mel kepada mangsa. Wanita yang sering menjadi mangsa penipuan dalam talian ini.

Langkah yang perlu diambil oleh mangsa penipuan ialah mereka boleh membuat tuntutan untuk mendapatkan kembali wang daripada penipu dengan mengisi tuntutan di mana-mana kaunter Tribunal Tuntutan Pengguna di seluruh negara atau melalui laman web rasmi pihak terbabit.

Selain itu, mangsa perlu berani untuk membuat laporan polis. Laporan itu adalah antara bukti yang kukuh dan dapat membantu mangsa yang mengalami gangguan siber.

Bagi mengelak terus menjadi mangsa, wanita boleh membeli perisian untuk menyekat komunikasi dalam talian yang meragukan atau bertindak mengabaikan hantaran yang mencurigakan. Jangan kongsi maklumat peribadi di laman sosial dan akaun peribadi perlu dalam mod private agar tidak dijejaki oleh penjenayah siber.

Kesimpulannya, walaupun kerajaan Malaysia membenarkan kebebasan internet, ia tidak boleh disalahgunakan sehingga menyebabkan berlaku keganasan berasaskan gender. – UTUSAN

FADHILAH AFIQAH FAIZOL
Pelajar Fakulti Undang-Undang,
Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya