Istanbul sebagai bandar raya contoh - Utusan Malaysia

Istanbul sebagai bandar raya contoh

ANWAR Ibrahim menerima panggilan daripada Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan ketika sidang akhbar di Kelab Golf Sungai Long, Kajang, Selangor, baru-baru ini. – UTUSAN/MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

PADA 1960, Bapa Kemerdekaan, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj menyatakan visinya yang mahukan negara kita menjadi salah sebuah negara paling bahagia di dunia.

Menurut Allahyarham, “Dengan perpaduan dan kerjasama, kepercayaan dan toleransi antara satu sama lain, dengan kerja keras dan hati yang terbuka, kita boleh menjadikan negara kita antara yang paling gembira di dunia.

“Ini adalah impian saya, inilah yang saya pertahankan untuk memastikan keamanan, kebahagiaan dan kemakmuran untuk Malaya kita yang sangat kita cintai.”

Kebahagian itu bukan kekayaan, mahupun kemewahan. Kebahagian lebih daripada itu. Kebahagiaan itu datang daripada kasih sayang, kebersamaan, keyakinan dan jati diri yang luar biasa.

Dari sini mungkin kita dapat mengorak langkah membina perpaduan. Sifat-sifat ini juga dilihat cuba disemai oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang secara peribadi sangat dekat dengan dunia kesusasteraan sebagai lulusan Sarjana Muda Sastera (Pengajian Melayu) dari Universiti Malaya pada 1971.

Baru-baru ini, saya ada bertemu dengan Jozep Edyanto dari syarikat peneraju perpustakaan digital, KuBuku Indonesia yang turut menyentuh tentang Anwar.

Katanya, “Perdana Menteri Malaysia yang baharu sangat dekat dengan dunia literasi. Sudah tentu kita ingin melihat industri literasi yang bertambah baik untuk semua.”

Jozep sebenarnya menyuarakan harapan ramai rakan dunia penerbitan dan industri kreatif termasuk sektor seni dan budaya terhadap Anwar. Antara yang boleh dilakukan oleh Anwar adalah menjadikan bandar-bandar kita seperti Istanbul.

Alhamdulillah, saya baru pulang dari Istanbul selepas ke Pesta Buku Frankfurt 2022 di Jerman pada pertengahan bulan lalu.

Budaya

Saya jatuh cinta dengan ibu kota Turkiye, di mana budaya adalah inti pati segala-galanya di Istanbul. Landskap, penduduk dan makanannya. Adab dan adatnya.

Ekonomi kreatif yang merangkumi sektor seni dan budaya, menjana nilai kewangan dan bukan kewangan menyumbang ke arah pembangunan masyarakat yang inklusif dan mampan.

Budaya boleh menjadi pemacu dan pemboleh ubah ekonomi kerana seperti yang saya nyatakan di atas, faktor positif kebahagiaan dapat berkembang pesat dalam masyarakat yang inti pati budayanya kuat.

Kita perlu membuat penilaian dengan mendalam terhadap aset kreatif yang mampu menjana ekonomi negara.

Kita juga perlu agresif mengenal pasti warisan tradisional kita dan memohon pengiktirafan Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) bagi memastikan seni, budaya dan warisan kita terus terpelihara.

Untuk memastikan industri kreatif dapat menyumbang kepada ekonomi negara, maka penggiat seni dan usahawan tidak boleh sekadar bergantung kepada sumber modal daripada keluarga dan rakan sebagai saluran pembiayaan utama.

Mereka juga tidak boleh terperangkap dengan cara ber­fikir mesti melakukan yang terbaik demi seni dan warisan tanpa mengira keuntungan.

Sebaliknya, kerajaan perlu melakukan pelaburan holistik yang bersifat jangka panjang dalam industri kreatif.

Bantuan kewangan harus melibatkan semua fasa dari pelan pembangunan, penghasilan produk, pemasaran dan pembiayaan.

Bantulah penggiat seni terlibat dalam dialog dan platform antarabangsa untuk memudahkan pertukaran dan pembelajaran bersama serta perkongsian maklumat dan pengalaman. – UTUSAN

NINOT AZIZ, Ketua Pegawai Operasi bzBee Consult

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya