SAUDARA PENGARANG,
BARU-BARU ini, kecoh apabila Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abd. Halim mendakwa badan sukan di negara ini terpalit dengan gejala rasuah.
Beliau dilaporkan berkata, amalan rasuah dalam badan sukan perlu ditangani sebaiknya bagi memastikan atlet dapat meningkatkan potensi sebenar mereka.
Kenyataan itu turut mendapat maklum balas beberapa badan sukan yang menggesa beliau memberi justifikasi terhadap dakwaan berkenaan.
Sebagai seorang yang berada dalam kerajaan, Adam Adli sepatutnya tidak mengeluarkan kenyataan tanpa membuat sebarang penilaian terlebih dahulu.
Beliau perlu mendapatkan maklumat lengkap terlebih dahulu sebelum mengeluarkan kenyataan kerana ia boleh memberi persepsi buruk sedangkan berapa banyak jenis sukan dan atlet berjaya mengharumkan nama negara.
Bertindak bijaklah Adam Adli, anda kini sebahagian daripada kerajaan, bukan lagi pembangkang yang dengan mudah mengeluarkan kenyataan. Jangan terbawabawa sikap pembangkang ketika melakukan protes jalanan dahulu. Bercakaplah berdasarkan fakta.
Anda sepatutnya mempertahankan badan-badan sukan di negara ini. Tidak perlulah terikut-ikut bekas Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu yang teruk dikecam selepas mendedahkan jumlah jet pejuang yang sudah rosak dan tidak diselenggara sehingga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menjadi bahan jenaka penganalisis pertahanan seluruh dunia apabila data sulit bilangan sebenar pesawat tempur Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) didedah secara terbuka di Parlimen.
Justeru, mana-mana menteri dan timbalannya terutama yang baru berada dalam Kabinet dan tidak berpengalaman, gunakan peluang ini untuk belajar cara berdepan dengan media.
Setiap kenyataan anda boleh membawa kebaikan atau keburukan terhadap kementerian yang diterajui.-UTUSAN
NAZ KHALID
Bagan Serai, Perak