SAUDARA PENGARANG,
PADA Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu menyaksikan pertembungan naratif penyebaran maklumat demi meraih sokongan rakyat terhadap parti-parti politik.
Demi mencapai matlamat meraih sokongan pengundi pelbagai naratif yang bersifat hasutan perkauman, sentimen agama serta permusuhan kaum cuba dibentuk dalam membina persepsi dan minda pengundi terutama melalui pentas ceramah dan disalurkan ke media sosial seperti TikTok, WhatsApp dan Facebook.
Pengguna media digital ini diserang bertubi-tubi dengan maklumat dicipta sehingga membentuk satu tanggapan dan persepsi yang mampu menggugat kesejahteraan negara dan perpaduan kaum serta agama di negara ini.
Masyarakat disajikan maklumat yang melebarkan perbezaan antara kaum melalui mesej-mesej kebencian antara etnik.
Anak-anak muda terutama yang masih suci pemikiran mereka disemarakkan dengan rasa benci membuak-buak terhadap kaum lain sehingga ada seolah-olah ingin mencetuskan rusuhan seperti tragedi 13 Mei 1969.
Sesungguhnya naratif perkauman dan ektremisme agama ini amat berbahaya kerana bakal menghancurkan perpaduan dan persefahaman dalam kalangan masyarakat.
Pendekatan naratif perkauman dan ekstremisme agama ini mesti dibendung melalui tindakan tegas oleh kerajaan. Malah Majlis Raja-Raja telah menitahkan kerajaan supaya meredakan bahang api perkauman yang disebarkan dalam kempen PRU15.
Akta
Mesej-mesej berbaur perkauman dan ektremis ini wajar dibendung oleh Kementerian Komunikasi dan Digital serta agensi berkaitan seperti CyberSecurity Malaysia dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi memastikan ia tidak terus menular.
Mereka yang menyebar api perkauman dan ekstremisme agama ini mesti dibendung melalui penggubalan Akta Kebencian Kaum dan Ekstremisme Agama demi menjaga keharmonian hidup bermasyarakat.
Oleh itu, kerajaan perpaduan perlu menyemak semula keputusan kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada 2019 yang menolak penggubalan akta hampir serupa iaitu Akta Kebencian Agama dan Kaum yang pernah dicadangkan oleh Majlis Konsultasi Perpaduan Negara (MKPN) dengan alasan memadai segala cadangan dijadikan penambahbaikan kepada Kanun Keseksaan.
Kita telah melalui episod ngeri seperti tragedi perbalahan kaum 13 Mei 1969 serta fenomena kafir-mengkafir dalam masyarakat Melayu Islam sehingga menumpahkan darah dan berbunuhan.
Maka episod seperti ini tidak wajar dilalui sekali lagi dengan kita membenarkan hasutan perkauman dan ekstremisme agama berakar umbi dalam masyarakat.
Setiap parti politik, pertubuhan serta orang perseorangan mesti bertanggungjawab terhadap ucapan serta mesej yang mereka sampaikan.
Kita boleh mengkritik sebarang dasar dan pendekatan mana-mana pihak tetapi adalah tidak wajar menggunakan naratif kebencian kaum dan ektremisme agama untuk meraih sokongan rakyat.
Api perkauman dan ekstremisme agama ini mudah disemarakkan dan boleh membinasakan kesejahteraan dan kerukunan masyarakat. – UTUSAN
DR. MEGAT AL IMRAN YASIN, Universiti Putra Malaysia (UPM)